Wanita warga Indonesia dipenjara tipu identiti dapatkan vaksin

Nela (tengah) dan Dee Loon (depan) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Melaka pada Jumaat.
Nela (tengah) dan Dee Loon (depan) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Melaka pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang wanita Indonesia dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat selepas mengaku bersalah melakukan penipuan identiti untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Mahkamah turut mengenakan hukuman denda RM1,700 terhadap pengurus pusat pemberian vaksin (PPV) selepas didapati terlibat dalam penipuan itu.

Nela, 29, dan Chong Dee Loon, 52, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Izwan Mohamed Noh setelah jurubahasa membacakan pertuduhan terhadap mereka.

Berdasarkan pertuduhan itu, Nela yang merupakan warga Indonesia didapati telah memperdayakan petugas PPV Bayou Lagoon Convention Centre dengan jalan samaran menggunakan pasport individu lain bernama Siti Aisyah sehingga mendorong petugas memberikan suntikan vaksin Covid-19.

Tindakan itu dilakukan antara 22 Ogos jam 10.08 pagi sehingga 12 September lalu jam 10.54 pagi di PPV Bayou Lagoon Convention Centre, Taman Saujana Bukit Katil.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nela juga didapati bersalah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1953/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama atas kesalahan telah masuk dan tinggal tanpa pas yang sah.

Dee Loon pula didapati bersalah atas pertuduhan sengaja tidak memberikan maklumat mengenai kehadiran wanita terbabit yang disyaki menggunakan pasport individu lain bagi tujuan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 kepada pegawai polis untuk tangkapan.

Artikel Berkaitan:

Dia yang merupakan ibu tunggal didakwa mengikut Seksyen 176 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding sama, seorang pengurus kilang telur, Yong Yeow Ming didakwa atas pertuduhan bersubahat menipu petugas PPV sama sehingga mendorong suntikan itu diberikan kepada wanita terbabit.

Dia yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 419 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga didapati telah membenarkan dua warga asing iaitu Helmi Rinaldi dan Nela yang merupakan migran haram masuk ke premis Yong Yew Farm Sdn. Bhd, Bukit Beruang, pada jam 12.30 tengah hari, pada 15 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap Nela bermula tarikh ditangkap pada 15 September lalu dan denda RM1,700 terhadap Dee Loon.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh ketiga, Yeow Ming diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan 10 November depan sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri dan peguam, Kent Tan Chow Teng yang mewakili Dee Loon serta Aiden Chan Chee Yuan untuk pihak Yeow Ming.