Terpedaya 'janji' pulangan tiga hari skim pelaburan emas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PASIR GUDANG - Polis menerima sebanyak tiga laporan daripada orang awam dipercayai telah menjadi mangsa penipuan pelaburan emas sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, laporan polis diterima itu membabitkan mangsa berumur lingkungan antara 25 hingga 50 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua mangsa ini telah diperdaya akan menerima pulangan pelaburan dalam masa yang singkat melalui pakej serendah RM300.

"Laporan pertama yang diterima adalah melibatkan seorang mangsa yang memaklumkan dirinya telah ditawarkan skim pelaburan emas daripada sebuah laman sesawang.

"Menerusi tawaran ini, mangsa dimaklumkan akan menerima pulangan pelaburan antara lapan hingga 11 peratus dalam masa tiga hari melalui pakej serendah RM300," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Sohaimi, pihaknya kemudiannya menerima dua lagi laporan daripada mangsa berlainan yang telah diperdaya menerusi laman sesawang sama dan seorang lagi diperkenalkan oleh kenalan.

"Sehingga kini, kita telah menerima sebanyak tiga laporan berkaitan skim pelaburan emas ini yang melibatkan kerugian sebanyak RM120,000. Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak mudah percaya dengan sebarang skim pelaburan terutamanya yang menawarkan pulangan tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu orang awam lebih berhati-hati dan selidik dahulu pelaburan yang mereka mahu sertai. Jangan sekadar tertarik dengan pulangan tinggi tetapi tidak munasabah.

"Mereka boleh menyemak dahulu melalui laman sesawang rasmi Bank Negara sebelum membuat keputusan melabur dengan mana-mana syarikat atau individu," katanya.