X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Malaysia-AS sepakat pastikan momentum hubungan dua hala kekal kukuh

Saifuddin Abdullah (kiri) dan Antony Blinken mengadakan perbualan telefon pada Khamis malam.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken mengadakan perbualan telefon pada Khamis malam dan kedua-dua pemimpin berazam untuk memastikan momentum hubungan dua hala terus kekal kukuh.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), hubungan dua hala itu merangkumi pelbagai aspek termasuk kesihatan dan keselamatan serta perdagangan dan pelaburan.

Saifuddin dan Blinken turut membincangkan pelbagai isu antarabangsa dan serantau, termasuk kerjasama tiga hala Australia-United Kingdom-AS (AUKUS), situasi di Myanmar dan Afghanistan serta Laut China Selatan.

Mengenai AUKUS, kenyataan itu memaklumkan Saifuddin berkongsi kebimbangan Malaysia terhadap potensi peningkatan perlumbaan senjata di rantau ini dan mengulangi komitmen tegas Malaysia untuk mempertahankan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

Saifuddin turut mengulangi gesaan agar semua pihak berkaitan menghormati serta mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) ASEAN.

Beliau berharap semua pihak berkaitan memperkukuh kerjasama sedia ada untuk menjamin keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini, sebagaimana yang didukung ASEAN Outlook mengenai Indo-Pasifik.

"Saifuddin juga mengulangi penghargaan Malaysia kepada AS yang bermurah hati menyumbangkan satu juta dos vaksin Covid-19 Pfizer kepada Kerajaan Malaysia pada Julai lalu dan bantuan kewangan AS$800,000 melalui Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah sebagai menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Malaysia," menurut kenyataan itu.

AS, melalui kedutaannya di Kuala Lumpur, turut menghulurkan pelbagai bantuan serta sumbangan lain bernilai AS$2.85 juta kepada Malaysia sejak pandemik melanda.

"Kedua-dua pemimpin menyuarakan komitmen untuk terus memelihara hubungan antara kedua-dua negara, termasuk pertukaran kunjungan bagi memanfaatkan potensi besar Kerjasama Komprehensif Malaysia-AS," menurut kenyataan itu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!