300 penduduk bimbang ancaman tanah runtuh

Kesan mendapan tanah yang berlaku, Selasa lalu.
Kesan mendapan tanah yang berlaku, Selasa lalu.
A
A
A

IPOH - Hampir 300 penduduk di Taman Puncak Jelapang Maju di sini hidup dalam kebimbangan berikutan risiko tanah runtuh di lereng bukit berhampiran kawasan kediaman mereka.

Menambahkan lagi keresahan penduduk apabila berlaku satu mendapan tanah sepanjang hampir 10 meter di tepi laluan Jalan 4 taman berkenaan pada Selasa lalu.

Wakil penduduk, Azahar Mohamad, 53 berkata, mendapan itu berlaku dipercayai akibat hujan lebat selain kesan kerja-kerja mengorek tanah yang didakwa dijalankan sebuah syarikat kontraktor di kawasan bersebelahan.

"Mendapan ini berlaku tidak jauh dari kawasan rumah dan melibatkan jalan utama penduduk yang turut menjadi laluan anak-anak menunggang basikal.

"Sekiranya terus dibiarkan, kami bimbang mendapan lebih besar boleh berlaku dan akan mengakibatkan kejadian tanah runtuh pula dengan keadaan cuaca sekarang yang kerap hujan.

"Malah kerisauan kami bertambah apabila ada kontraktor yang menjalankan kerja-kerja mengorek tanah, di mana gegaran itu boleh dirasai sekali gus membimbangkan kita akan menyebabkan berlakunya pergerakan tanah di kawasan ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

Azahar (hadapan) bersama penduduk Taman Puncak Jelapang Maju yang mengakui bimbang dengan ancaman tanah runtuh.
Azahar (hadapan) bersama penduduk Taman Puncak Jelapang Maju yang mengakui bimbang dengan ancaman tanah runtuh.

Seorang lagi penduduk, S Sundralingam, 64 berkata, perkara itu telah dilaporkan kepada pejabat tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar tindakan segera dapat diambil.

Artikel Berkaitan:

Pesara guru itu berkata, penduduk tidak menolak pembangunan, namun ia perlu dilaksanakan dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

"Dulu kawasan ini dipenuhi pokok, sekarang dah kosong dan diganti dengan kerja-kerja pembangunan.

"Jadi kita mohon jasa baik pihak berkuasa turun padang untuk pantau, janganlah biarkan kami menanggung kesan kegagalan rancangan pembangunan yang dijalankan," katanya.