Penolong pegawai tanah didakwa terima rasuah

Mohd Faris tidak mengaku bersalah atas enam pertuduhan menerima suapan daripada seorang ahli perniagaan.
Mohd Faris tidak mengaku bersalah atas enam pertuduhan menerima suapan daripada seorang ahli perniagaan.
A
A
A

KUANTAN - Seorang penolong pegawai tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Bentong didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas enam pertuduhan menerima suapan daripada seorang ahli perniagaan.

Tertuduh, Mohd Faris Romle, 36, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Md Suah.

Mengikut enam pertuduhan berkenaan, Mohd Faris didakwa menerima antara RM100 hingga RM400 melalui pemindahan wang secara dalam talian dilakukan ahli perniagaan terbabit bagi tujuan membabitkan tugasannya sebagai penjawat awam di Unit Penguatkuasaan, Pejabat Daerah dan Tanah Bentong.

Jumlah keseluruhan transaksi pindahan wang atas talian diterima tertuduh ialah sebanyak RM1,400.

Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah bank di bandar Bentong antara 10 Februari hingga 17 September tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin menawarkan ikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta agar mahkamah mempertimbangkan jumlah ikat jamin ditawarkan pihak pendakwaan memandangkan dia hanya memperoleh gaji bersih RM1,500 sebulan, selain menanggung isteri dan dua anak.

Artikel Berkaitan:

Nurul Farahah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 selain menetapkan 1 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.