X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

380 mangsa banjir di Kedah dipindahkan ke 17 PPS

Anggota APM membuat pemantauan banjir di daerah Sik terutama membabitkan kawasan yang rendah pada Khamis. - Foto APM Daerah Sik
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 380 mangsa banjir dari tiga daerah iaitu Baling, Sik dan Kulim ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi Jumaat.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, jumlah tersebut membabitkan sebanyak 131 keluarga dan pemantauan diteruskan di kawasan yang berisiko dinaiki air.

Beliau berkata, jumlah mangsa yang dipindahkan itu meningkat berbanding seramai 263 mangsa daripada 95 keluarga yang ditempatkan di 14 PPS di Baling dan Sik setakat jam 8 malam Khamis.

"Akibat pertambahan jumlah mangsa setakat jam 8 pagi ini, sebanyak tiga PPS baharu dibuka iaitu dua di Baling dan satu di Kulim yang menjadikan jumlah keseluruhan PPS dibuka ialah 17 buah setakat jam 8 pagi Jumaat.

"17 PPS yang dibuka itu melibatkan 14 di Baling, satu di Kulim dan dua di Sik," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, seramai 325 mangsa di Baling daripada 115 keluarga telah ditempatkan di 14 PPS, manakala 28 mangsa daripada enam keluarga di Sik ditempatkan di dua PPS dan 27 mangsa daripada 10 keluarga di Kulim pula ditempatkan di satu PPS.

Katanya, satu PPS di daerah Padang Terap iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tampoi, Kuala Nerang yang dibuka pada Rabu dan menempatkan 10 mangsa sudah ditutup pada Khamis.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!