Tiga jam sesat di Bukit Bauk

Operasi mencari dan menyelamat mangsa di sekitar kawasan bukit setinggi 400 meter itu disertai 20 anggota daripada pelbagai agensi pada Khamis. - Foto ihsan Bomba
Operasi mencari dan menyelamat mangsa di sekitar kawasan bukit setinggi 400 meter itu disertai 20 anggota daripada pelbagai agensi pada Khamis. - Foto ihsan Bomba
A
A
A

DUNGUN - Dua sahabat berdepan detik cemas selepas tersesat hampir tiga jam ketika dalam perjalanan menuruni puncak Bukit Bauk, di sini pada petang Khamis.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, kedua-dua individu berusia 20-an itu mula mendaki bukit berkenaan sekitar jam 9 pagi sebelum membuat panggilan kecemasan sekitar jam 12 tengah hari.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada salah seorang mangsa memberitahu mereka telah tersesat ketika dalam perjalanan turun daripada puncak bukit.

"Sebaik menerima maklumat, seramai 20 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.

Menurut Azman, kesemua mangsa ditemukan kira-kira dua kilometer (km) daripada laluan asal pendakian pada jam 1.31 petang.

"Operasi mencari dan menyelamat orang hilang di sekitar kawasan bukit setinggi 400 meter itu ditamatkan pada jam 2.37 petang.

"Dua mangsa yang selamat dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, Azman mengingatkan orang ramai supaya melaporkan terlebih dahulu kepada pihak berkaitan sebelum memulakan sebarang aktiviti pendakian bagi mengelak insiden tidak diingini.

Artikel Berkaitan: