Lawatan Tun M ke Filipina tanda Malaysia terus kukuh kerjasama

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Filipina Rizany Irwan Muhammad Mazlan ketika sidang media berkenaan Lawatan Kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Filipina di Kedutaan Malaysia di Filipina hari ini. - Foto Bernama
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Filipina Rizany Irwan Muhammad Mazlan ketika sidang media berkenaan Lawatan Kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Filipina di Kedutaan Malaysia di Filipina hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MANILA - Lawatan tiga hari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Filipina mulai esok merupakan manifestasi kesungguhan Malaysia dalam usaha mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Filipina Rizany Irwan Muhamad Mazlan berkata lawatan berkenaan akan memberi ruang kepada Dr Mahathir dan rakan sejawatannya Presiden Filipina Rodrigo Duterte untuk membincangkan pelbagai perkara melibatkan kepentingan bersama kedua-dua negara.

Katanya ia termasuk hubungan dagangan, ekonomi serta pelaburan di kedua-dua buah negara terutama berikutan perkembangan positif proses damai di Mindanao, selatan Filipina berikutan ratifikasi Undang-Undang Organik Bangsamoro yang penting bukan sahaja untuk kestabilan di Filipina tetapi juga negara serantau.

Lawatan bertemakan 'Partners For Progress, Brothers For Peace' berkenaan juga akan memberi ruang kepada kepada Malaysia untuk mengetengahkan dasar-dasar terkini kerajaan dan pendirian negara khususnya berkaitan isu-isu yang mempunyai manfaat bersama.

"Bagi lawatan Perdana Menteri ini, ia merupakan manifestasi kesungguhan Malaysia untuk terus mengukuhkan kerjasama dengan Filipina di samping kita mengekalkan persefahaman ampuh yang sedia terjalin.

"Kita boleh lihat terdapat satu sinergi antara Tun Dr Mahathir dengan presiden Filipina Rodrigo Duterte. Saya rasa Tun Dr Mahathir dan Presiden Duterte mempunyai hubungan yang baik dan kita seharusnya dapat menggunakan peluang ini untuk kita memastikan hubungan kita sebagai rakan strategik Filipina itu dapat diangkat ke peringkat yang lebih tinggi dan dan berkmakna..," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Delegasi lawatan rasmi Tun Dr Mahathir bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ke Filipina itu turut disertai Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Lawatan ini adalah lawatan pertama Tun Dr Mahathir ke Filipina sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 10 Mei lepas.

Artikel Berkaitan:

Antara agenda utama lawatan ialah Dr Mahathir diberi penghormatan tertinggi untuk meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Rizal di Manila.

Sejurus selepas itu, Tun Dr Mahathir akan di sambut oleh rakan sejawatnya Presiden Rodrigo Duterte dalam upacara sambutan tetamu kehormat negara di Istana Malacanang sebelum kedua-dua pemimpin menghadiri mesyuarat hubungan dua hala.

Dalam mesyuarat hubungan dua hala berkenaan, Tun Dr Mahathir dan Duterte yang diiringi oleh menteri kabinet serta pegawai kerajaan masing-masing akan membincangkan segala isu berkaitan isu berkepentingan bersama.

Program rasmi lawatan Dr Mahathir berkenaan akan diakhiri dengan majlis santapan negara khas yang akan dihoskan oleh Presiden Duterte bagi meraikan Perdana Menteri dan isteri serta delegasi Malaysia dalam lawatan itu.

Di samping pertemuan rasmi berkenaan Tun Dr Mahathir juga dijadual akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin perniagaan dan industri Filipina dalam Forum Perniagaan Malaysia-Filipina bagi berinteraksi serta bertukar-tukar pandangan berkenaan usaha mengembangkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan Datu Abul Khayr Alonto iaitu Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Mindanao untuk membincangkan isu-isu pembangunan di Mindanao.

Sebelum berlepas pulang ke ibu negara, Dr Mahathir juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakyat dan pelajar-pelajar Malaysia di Manila.

Nilai dagangan Malaysia dengan Filipina bagi 2018 ialah sebanyak RM26.1 bilion, meningkat 8.7 peratus berbanding RM25.5 bilion pada 2017.

Eksport Malaysia ke Filipina pada tahun 2018 ialah RM16.92 bilion manakala import dari negara Filipina ialah RM9.19 bilion pada 2017. - Bernama