Covid-19: 94.9 peratus analisis sampel dikenal pasti varian Delta

Datuk Seri Dr Adham Baba
Datuk Seri Dr Adham Baba
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 1,246 atau 94.9 peratus daripada 1,312 sampel virus SARSCoV-2 yang telah dianalisis dikenal pasti sebagai varian Delta.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sampel yang dilakukan menerusi penjujukan genom di tujuh buah makmal turut mendapati 11 varian Beta dan 55 lagi dari varian lain.

"Sampel- sampel ini adalah setakat 30 September dipilih oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diambil dari kesemua negeri termasuk Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, varian delta lebih merbahaya dengan kadar infektiviti yang lebih tinggi dan boleh menyebabkan timbulnya kluster baharu tempatan dengan pantas.

"Mereka yang belum divaksin juga berisiko tinggi untuk mudah mendapat varian delta, justeru vaksinasi adalah perlindungan terbaik melawan varian delta ini," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, tiada varian Mu dikesan daripada sampel-sampel di Malaysia dan pihak konsortium akan terus memantau penularan varian virus SARS-CoV-2 di negara ini.

Dalam pada itu, Dr Adham mengumumkan MOSTI telah meluluskan dana sebanyak RM3,227,200 di bawah Dana Penyelidikan Strategik untuk membiayai projek penjujukan genom virus SARS-CoV-2.

"Projek ini dijangka menjujuk 3,000 genom virus SARSCoV-2 yang amat penting dan strategik untuk mengenal pasti dan memantau varian terutamanya varian membimbangkan (VOC) serta varian berkepentingan (VOI) seperti Lamda dan Mu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kementerian turut mengumumkan tambahan dana sebanyak RM13.9 juta kepada konsortium berkenaan merangkumi tujuh makmal di bawah MOSTI, KKM dan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Konsortium ini berperanan untuk memudah cara kerjasama dan menjana hasil-hasil penyelidikan dalam bidang penyakit berjangkit virus SARS-CoV-2, seterusnya memangkinkan pembangunan vaksin tempatan," katanya.

Tambah Dr Adham, melalui program itu, kapasiti ujian telah berjaya ditingkatkan sebanyak lima kali ganda dengan jumlah ujian bagi kesemua makmal tersebut melebihi 1,000 ujian genom setiap bulan.

"Ia berbanding dengan 200 setiap bulan sebelum ini.

"Dengan sokongan dana dari MOSTI ini dijangka sebanyak 10,000 penjujukan tambahan genom virus SARS-CoV-2 akan dapat dicapai," katanya.