Surau dipercayai tertua di Perak Tengah terbiar reput

Nazihah menunjukkan Surau Latiffiah yang masih kekal dibina di tapak asalnya.
Nazihah menunjukkan Surau Latiffiah yang masih kekal dibina di tapak asalnya.
A
A
A

PASIR SALAK - Madrasah Bumbung Lima atau kini dikenali Surau Latiffiah berusia lebih tiga abad di Kampung Bandar Tua, Kampung Gajah di sini pernah menjadi sebahagian sejarah perkembangan Islam di daerah Perak Tengah.

Surau lama diasaskan oleh seorang individu bernama Alang Abd Latif dibina pada abad ke-18 itu dikatakan pernah dikunjungi Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika usaha kempen Kemerdekaan negara pada tahun 1956.

Ia menjadi pusat pengajian agama Madrasah Tinggi Bandar Tua secara rasmi pada 1926 dengan mempunyai ratusan pelajar dan melahirkan ramai guru agama antaranya Tuan Guru Mahmuddin Abdul Somad dan Tuan Guru Zahidin Abdul Rahman.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Bandar Tua, Nazihah Abdul Ghapar berkata, arwah bapanya, Abdul Ghapar Jais, 84, merupakan salah seorang pelajar di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Daud yang terkenal dalam kalangan penduduk setempat.

Menurutnya, bapanya juga adalah imam kedua terakhir di surau berkenaan sebelum semua aktiviti berpindah ke masjid baharu yang dibina berhampiran.

"Bangunan ini meriah dengan aktiviti agama dan mengikut sejarah diceritakan, ia dibina dengan kayu balak yang dibawa gajah menyeberangi Sungai Perak selain reka bentuk bumbung berbucu lima yang menjadi simbol Rukun Islam.

"Surau ini juga menjadi pusat aktiviti penduduk termasuk Pasir Jenderis dan Kampung Biak Hilir kerana ia berhampiran jeti yang mana Sungai Perak menjadi 'lebuh raya' pengangkutan sampan penambang ketika itu," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Madrasah Tinggi Bandar Tua secara rasmi pada 1926 dengan mempunyai ratusan pelajar dan melahirkan ramai guru agama. Keadaan bahagian dalam Surau Latiffiah yang terbiar reput tanpa dibaiki oleh pihak berkaitan.
Madrasah Tinggi Bandar Tua secara rasmi pada 1926 dengan mempunyai ratusan pelajar dan melahirkan ramai guru agama. Keadaan bahagian dalam Surau Latiffiah yang terbiar reput tanpa dibaiki oleh pihak berkaitan.

Bagaimanapun, madrasah terletak kira-kira dua kilometer dari Kompleks Sejarah Pasir Salak itu dipercayai antara surau tertua di Perak telah ditinggalkan terbiar, reput dan menunggu masa menyembah bumi.

Nazihah berkata, hanya bahagian bawah surau dijadikan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al-Latifiah.

Katanya, mereka berusaha memulihara bangunan dengan mengekalkan reka bentuk asalnya yang unik selain menjadi pakej pelancongan warisan.

"Satu surat dilampirkan kepada kerajaan negeri bagi memohon sumbangan membaik pulih SRAR dan surau berkenaan pada Februari lalu.

"Namun, permohonan itu ditolak kerana kerangka reput akibat serangan anai-anai dan tidak ekonomik untuk pembaikan," katanya.

Selain itu, Masjid Al- Madinah di Kampung Bandar di sini perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri apabila rumah ibadat berusia 131 tahun itu masih kukuh di tebing Sungai Perak.

Hamidah (tiga dari kanan) melawat Masjid Al-Madinah yang terbiar di Kampung Bandar, Kampung Gajah.
Hamidah (tiga dari kanan) melawat Masjid Al-Madinah yang terbiar di Kampung Bandar, Kampung Gajah.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abd Malek berkata, Pasir Salak bukan sahaja melahirkan pejuang tanah air malah tokoh ulama iaitu Mufti Perak pertama, Muhammad Zain Muhammad Amin yang dipercayai dikebumikan di kawasan itu namun kuburnya tidak ditemui.

"Struktur binaan masjid ini menggunakan kayu yang berasal dari Kampung Paloh, Ipoh yang dihanyutkan dari Sungai Kinta hingga Sungai Perak dan ia menjadi tumpuan ibadat lebih 200 keluarga ketika itu.

"Bagaimanapun, seiring dengan kepesatan pembangunan semasa, kampung ini secara perlahan ditinggalkan termasuk masjid ini," katanya.

Menurutnya, masjid itu perlu dipulihara apabila struktur asal masih kekal meskipun terbiar sejak 1990-an.

Nordin berkata, sumber kekuatan daerah itu iaitu pelancongan luar bandar dan warisan bermula dari Pulau Cempaka Sari di Parit hingga ke Pasir Salak.

"Kami cuba popularkan menerusi pelbagai medium, ternyata ramai yang suka akan konsep ini. Namun, pelbagai aspek perlu ditekankan antaranya tugas memulihara dan manfaat warisan yang ada.

"Sudah tiba masanya sukarelawan dan penggiat pelancongan tempatan urus tadbir perkara ini. Kerajaan negeri perlu menggalakkan komuniti setempat untuk sertai pelancongan warisan.

"Warisan yang terbiar petanda pembangunan luar bandar itu sendiri dianaktirikan. Setiap warisan ada pengkisahannya dan boleh menjadi sumber pendapatan penduduk, kena ada kreativiti baru," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, kajian menyeluruh sejarah tamadun Melayu di Pasir Salak perlu dijalankan agar warisan yang ada kini tidak hilang untuk generasi baharu.

"Kerajaan negeri serta pemimpin tempatan perlu ambil serius menyelamatkan kesan-kesan sejarah ini. Setiap kesan sejarah mempunyai nilai komersial yang perlu didokumentasikan termasuk Sungai Perak. Kembalikan kegemilangan lembah warisan ini," katanya.