Menyanyi lagu 'pujuk' pokok enau

Jamhari menunjukkan gula enau yang sedia untuk dijual.
Jamhari menunjukkan gula enau yang sedia untuk dijual.
A
A
A

KUALA PILAH - Meskipun proses pembuatannya rumit, namun Jamhari Lasman, 57, tetap memilih meneruskan legasi datuknya sebagai pengusaha gula enau di Kampung Juasseh Kapitan di sini sejak lebih 30 tahun lalu.

Keputusannya untuk menuntut daripada arwah datuknya cara-cara membuat gula enau dianggap berbaloi yang kini menjadi sumber rezeki utamanya.

Menurut Jamhari, menjadi rutinnya seawal jam 6 pagi setiap hari untuk memanjat pokok enau setinggi antara lima meter hingga 10 meter di belakang rumahnya untuk memulakan proses mendapatkan air nira.

"Ia memerlukan kesabaran yang tinggi kerana prosesnya panjang dan rumit.

"Sebelum air nira diambil, bahagian bawah batang dan mayang akan diketuk menggunakan kayu selama 12 hari bagi membuka rongga batang kerana jika tidak air nira susah keluar," katanya.

Jamhari(kanan) dan menantunya menyiapkan gula enau.
Jamhari(kanan) dan menantunya menyiapkan gula enau.

Jelas beliau, proses itu dilakukan tiga hari berturut-turut dan pokok kemudian direhatkan sebelum dilakukan selang sehari sehingga mayang pecah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mayang kemudian akan dipotong dan dibungkus sebelum air nira ditadah di dalam bekas yang digantung pada pokok.

"Biasanya setiap pokok boleh keluarkan air nira sehingga enam bulan dan kemudian 'berehat' beberapa bulan sebelum boleh mendapatkan air semula.

Jamhari(kanan) dan menantunya menyiapkan gula enau.
Jamhari(kanan) dan menantunya menyiapkan gula enau.

"Ikut ajaran orang-orang tua, batang pokok yang telah dipotong akan digosok dengan cili untuk membolehkan air nira keluar dengan cepat," katanya.

Jamhari berkata, tidak semua air nira yang dikumpul boleh dijadikan gula enau kerana air yang tidak sesuai akan menyebabkan gula enau yang kurang sedap.

Ujarnya, air nira akan dimasak sehingga pekat antara dua hingga tiga jam dan pemilihan kayu api digunakan sangat penting bagi mendapatkan aroma wangi.

"Saya akan gunakan kayu pokok rambutan dan kayu pokok reban.

Isteri Jamhari, Noridah Sulaiman, 70, membungkus gula enau dengan daun pokok kelapa.
Isteri Jamhari, Noridah Sulaiman, 70, membungkus gula enau dengan daun pokok kelapa.

"Selepas siap dimasak ia perlu terus dimasukkan ke dalam acuan buluh bagi mengelak gula mengeras dalam kuali dan selepas beberapa minit ia akan dikeluarkan, " katanya.

Selain itu, Jamhari turut mengamalkan petua yang diajar arwah datuknya dengan menyanyi lagu sebagai 'memujuk' pokok.

Jelasnya, ia bertujuan memujuk pokok enau supaya mengeluarkan air nira yang sedap, tetapi jika tidak diamalkan pun tidak menjadi masalah.

Jamhari memanjat pokok enau di belakang rumahnya.
Jamhari memanjat pokok enau di belakang rumahnya.

Sementara itu, katanya, gula enau selain biasanya digunakan untuk membuat kuih-muih turut diletakkan di dalam masakan.

"Setiap hari sebanyak 100 bungkus gula enau yang saya buat dan biasanya ia sudah ditempah pelanggan bukan saja dari Negeri Sembilan tetapi juga dari Pahang selain Bangi, Shah Alam dan Klang di Selangor.

"Inilah sumber pendapatan saya dari dulu sampai sekarang. Sekarang ini saya turunkan ilmu membuat gulai enau ini kepada menantu saya pula dan nampaknya dia berminat," katanya.