Gadis penoreh getah terima tawaran biasiswa UniSZA

UniSZA menawarkannya biasiswa berjumlah lebih RM30,000.
UniSZA menawarkannya biasiswa berjumlah lebih RM30,000.
A
A
A

PASIR MAS - Kisah kesusahan Nur Amalin Syaffah Saman, 19, dari Kampung Tandak, Rantau Panjang, dekat sini, yang terpaksa berulang-alik sejauh 30 kilometer meredah kebun getah dan kelapa sawit bagi mencari wang persediaan ke universiti, mendapat perhatian Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan menawarkannya biasiswa berjumlah lebih RM30,000.

Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan UniSZA, Muzafar Mohd Din berkata, biasiswa itu bagi menanggung yuran pengajian, asrama dan sara hidup sebanyak RM600 sebulan, yang diuruskan menerusi tabung wakaf universiti sehingga gadis itu menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) selama tiga tahun.

“Di UniSZA, bila kita dapat maklumat keadaan pelajar yang sebegini (susah) di mana-mana negeri pun kita akan tolong dan bantu memandangkan universiti ini kita bentuk sebagai universiti komuniti. Kita akan tolong pelajar-pelajar ini walau apa pun keadaan mereka, malah setakat ini seramai 10 pelajar telah ditanggung pengajian mereka menerusi tabung wakaf UniSZA.

“Saya mewakili Naib Canselor UniSZA Prof Dr Fadzli Adam mengucapkan tahniah kepada Nur Amalin Syaffah kerana mendapat tawaran daripada universiti, dan kami mengalu-alukan kedatangan beliau ke UniSZA pada bulan depan,” katanya yang ditemui pemberita ketika mengunjungi keluarga Nur Amalin Syaffah di Kampung Tandak bagi menyampaikan tawaran biasiswa berkenaan dan sumbangan bakul makanan.

Dalam kunjungan itu, Pengasas Thirdforce Raja Shamri Raja Husain turut menyampaikan sumbangan komputer riba dan telefon bimbit bagi memudahkan gadis itu mengikuti pengajian secara dalam talian.

Media sebelum ini melaporkan tentang kesusahan Nur Amalin Syaffah mencari wang dengan menoreh getah demi mengejar cita-citanya melangkah ke menara gading hingga tular menerusi media sosial.

Sementara itu, Nur Amalin Syaffah merakamkan penghargaan dan menyifatkan tawaran biasiswa tersebut seakan ‘mimpi’ kerana tidak pernah menyangka berita yang tular itu membawa ‘tuah’ kepadanya.

“Jika hendak berharap kepada upah menoreh getah sekitar RM700 hingga RM800 sebulan memang agak mustahil memandangkan saya juga mempunyai empat adik yang perlu ditanggung dengan dua daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU),” kata anak sulung daripada lima beradik itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: