Hasan Arifin dilantik Pengerusi TNB

Datuk Seri Hasan Arifin. - Foto Bernama
Datuk Seri Hasan Arifin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada Khamis mengumumkan pelantikan Datuk Seri Hasan Arifin sebagai pengerusinya berkuat kuasa 1 Oktober 2021.

Menurut TNB dalam kenyataan di sini, beliau menggantikan penyandang sebelum ini iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dilantik menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar bermula 30 Ogos 2021.

Hasan, 68, telah dilantik menjadi Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad tahun lepas. Beliau pernah menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (1990-1999), Pengerusi Lembaga Pembangunan Wilayah Pahang Tenggara (1995-1998) dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2015-2018.

Hasan pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bermula 1991 hingga 1995 dan UDA Holdings Berhad (2010-2015).

Mantan Timbalan Menteri Besar Pahang (1995-1999) yang kini menjadi Ahli Parlimen Rompin memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Ekonomi dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan pernah mengikuti kursus Pengurusan di Asian Institute of Management di Manila.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan atas kepercayaan dan amanah yang diberikan untuk menerajui TNB sebagai Pengerusi. Dalam memegang jawatan ini, saya bertanggungjawab terhadap semua pemegang saham dan lebih utamanya pemegang amanah,” katanya.

Beliau berkata terdapat lebih 60 peratus milikan saham TNB dimiliki syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Berbekalkan pengalaman luas dalam sektor korporat, Hasan berkata, beliau akan meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai oleh pimpinan terdahulu yang telah memastikan pulangan dividen yang adil dan berpatutan kepada semua pemegang saham serta mengekalkan amalan tadbir urus yang baik, telus dan bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Dalam menyatakan komitmennya bagi memastikan pencapaian jangka panjang pihak pengurusan serta Lembaga Pengarah untuk pertumbuhan nilai aset TNB, beliau berkata, “Saya berharap Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan akan terus bekerjasama bagi mencapai matlamat yang diinginkan oleh syarikat untuk kebaikan negara.”

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir. Baharin Din berkata: “Bagi pihak Lembaga Pengarah, pengurusan dan 35,000 warga kerja TNB, saya mengalu-alukan kedatangan Datuk Seri Hasan ke TNB.

“Pengetahuan dan pengalamannya yang luas amat bermanfaat untuk inisiatif transformasi TNB serta usaha pemulihan akibat pandemik Covid-19,” katanya. - Bernama