Mini kasino dalam kondo mewah diserbu, 13 ditahan

13 individu termasuk sembilan wanita ditahan selepas didapati bermain judi di sebuah kondominium mewah di Bayan Lepas pada Rabu. Foto: ihsan PDRM Pulau Pinang
13 individu termasuk sembilan wanita ditahan selepas didapati bermain judi di sebuah kondominium mewah di Bayan Lepas pada Rabu. Foto: ihsan PDRM Pulau Pinang
A
A
A

BAYAN LEPAS - 13 individu termasuk sembilan wanita ditahan selepas didapati bermain judi di sebuah kondominium mewah yang dijadikan mini kasino di sini pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra’ais berkata, kesemua mereka yang berusia lingkungan 31 hingga 69 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang pada jam 3.45 petang.

Menurutnya, kesemua tangkapan sedang leka bermain judi ketika serbuan dilakukan menerusi Op Dadu-Tangkapan Mini Kasino tersebut.

"Kesemua yang ditahan dipercayai penganjur dan pemain judi di dalam kediaman mewah tersebut. Sindiket ini disyaki telah menyewa kondominium mewah itu sejak pertengahan bulan ini.

"Mereka menjalankan aktiviti perjudian di antara jam 12 tengah hari hingga 8 malam setiap hari. Modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan aktiviti perjudian kepada kenalan rapat sahaja bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Rahimi menambah, sindiket tersebut meraih keuntungan sehingga RM100,000 sepanjang tempoh aktiviti tersebut beroperasi.

"Dalam serbuan itu, kita merampas wang tunai berjumlah RM13,200 dan pelbagai peralatan yang digunakan untuk bermain judi antaranya 935 keping cip pelbagai warna yang mempunyai nilai; satu unit tab, satu unit komputer dan beberapa peralatan lain.

"Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 serta hukuman penjara tidak lebih dari tiga tahun," katanya.