Covid-19: 1.7 peratus kes Kategori Tiga, Empat dan Lima

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 1.7 peratus atau 220 daripada 12,735 kes yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas setakat 12 tengah hari Khamis adalah terdiri daripada Kategori Tiga, Empat dan Lima.

Kategori Tiga adalah mereka yang menghidap radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima pula memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, baki 12,515 kes atau 98.3 peratus adalah terdiri daripada Kategori Satu iaitu tidak bergejala dan Kategori Dua, bergejala ringan.

"Daripada jumlah kes baharu juga, 17 adalah kes import melibatkan sembilan warganegara dan lapan rakyat asing manakala 12,718 kes pula melibatkan penularan dalam negara iaitu 11,842 warganegara dan 876 rakyat asing.

"Sebanyak 17,725 kes sembuh turut dicatatkan menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 2,054,824 iaitu 91.5 peratus," menurutnya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Khamis.

Beliau berkata, terdapat 924 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 849 yang disahkan positif Covid-19 manakala 75 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Katanya, sebanyak 512 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 387 yang disahkan positif Covid-19 manakala 125 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Dr Noor Hisham juga berkata, 15 kluster baharu dikesan dengan sembilan daripadanya berkaitan tempat kerja, lima kluster membabitkan penularan dalam komuniti manakala satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Artikel Berkaitan:

Data kematian akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman Github dan laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my pada tengah malam Khamis. - Bernama