Dakwaan manipulasi kapasiti katil Hospital Sibu tidak benar

Gambar hiasan - Foto Fail Bernama.

Gambar hiasan - Foto Fail Bernama.

A
A
A

KUCHING - Pihak pengurusan hospital menambah bilangan katil bagi rawatan pesakit Covid-19 mengikut keperluan semasa berdasarkan peningkatan kemasukan pesakit wabak itu, kata Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk, Dr Mohamed Sapian Mohamed.

Oleh itu katanya dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan terdapat manipulasi denominasi kapasiti katil di Hospital Sibu adalah tidak benar.

“Data (kapasiti katil) adalah dinamik iaitu berlaku penambahan dan pengurangan bilangan katil bagi rawatan Covid-19 mengikut keperluan semasa, maka denominator jumlah kapasiti katil turut akan berubah dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, setakat hari ini 275 kes aktif yang sedang dirawat di wad Covid-19 Hospital Sibu termasuk 147 pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima.

“Jumlah keseluruhan katil di Hospital Sibu adalah 642 katil dan masih terdapat kekosongan 157 katil bagi menampung pesakit baharu,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohamed Sapian berkata, 52 jururawat terlatih kontrak telah ditempatkan bersama 10 pegawai perubatan dari Semenanjung yang akan dimobilisasi ke Hospital Sibu pada 5 Oktober hingga 24 Disember bagi mengatasi sebarang isu kekurangan tenaga kerja.

Jelasnya, walaupun arahan pembekuan cuti terpaksa dilaksanakan demi kepentingan perkhidmatan, namun kelonggaran bercuti rehat akan diberikan sekiranya terdapat perkara yang melibatkan kebajikan petugas hospital seperti kes kecemasan.

“Malah, cuti rehat turut dipertimbangkan kepada petugas yang mengalami masalah kepenatan atau kelesuan dan kurang sihat bagi menjamin kebajikan mereka,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: