Ekonomi Malaysia dijangka kembali berkembang kukuh pada 2022

Ekonomi Malaysia dijangka kembali berkembang kukuh pada 2022, seiring dengan pemulihan ekonomi dan perdagangan dunia dalam tempoh separuh kedua 2021 dan tahun depan. Foto hiasan
Ekonomi Malaysia dijangka kembali berkembang kukuh pada 2022, seiring dengan pemulihan ekonomi dan perdagangan dunia dalam tempoh separuh kedua 2021 dan tahun depan. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia dijangka kembali berkembang kukuh pada 2022, seiring dengan pemulihan ekonomi dan perdagangan dunia dalam tempoh separuh kedua 2021 dan tahun depan apabila lebih banyak negara mempergiat usaha vaksinasi.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang kedua, menurut Kementerian Kewangan (MOF), pelaksanaan langkah rangsangan ekonomi secara berterusan akan menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka kekal kukuh pada 6.0 peratus berdasarkan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa manakala 5.8 peratus menurut Bank Dunia.

“Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, pemulihan Malaysia amat bergantung kepada pemulihan ekonomi global terutamanya rakan dagang utama negara,” katanya.

Dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mesyuarat itu diadakan buat kali kedua pada tahun ini bagi membincangkan keadaan ekonomi serta situasi fiskal semasa, unjuran fiskal jangka sederhana dan kedudukan hutang kerajaan Persekutuan.

Ahli jawatankuasa itu termasuklah Menteri Kewangan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi dan Gabenor Bank Negara Malaysia.

Menurut MOF, prospek pemulihan ekonomi dalam masa terdekat lebih memberangsangkan, disokong oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi secara sistematik di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk aktiviti sosial seperti makan di restoran dan pelancongan.

Katanya, pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan dan bantuan yang tepat pada masanya turut memberikan pemangkin tambahan kepada pemulihan ekonomi yang ditunjukkan oleh indikator ekonomi yang lebih baik.

“Ini seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bulanan kembali berkembang kukuh sebanyak 40.1 peratus dan 19.8 peratus pada April dan Mei 2021 berbanding penguncupan 28.8 peratus pada April 2020.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, pertumbuhan KDNK bulan Jun merosot 4.4 peratus disebabkan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula pada pertengahan Mei dan Fasa 1 PPN pada awal Jun,” katanya.

Selain itu, katanya pemulihan dalam pasaran buruh dengan kadar pengangguran berkurangan kepada 4.8 peratus pada Julai 2021 berbanding paras tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020 dan peningkatan jualan sektor pembuatan sebanyak 0.6 peratus kepada RM119.8 bilion pada Julai 2021 berbanding penguncupan 33 peratus pada April 2020.

Seterusnya peningkatan perdagangan luar dengan aktiviti eksport yang berkembang sebanyak 18.4 peratus kepada RM95.6 bilion pada Ogos 2021 manakala aktiviti import meningkat 12.5 peratus kepada RM74.2 bilion, katanya.

Menurut MOF, kenaikan Indeks Pelopor sebanyak 0.5 peratus pada Julai 2021 selepas merosot sebanyak 6.0 peratus pada April 2020 yang menunjukkan pemulihan ekonomi secara beransur-ansur dalam jangka pendek dan prospek ekonomi yang bertambah baik menjelang 2022. - Bernama