Perhimpunan Agung UMNO 13 hingga 15 Januari depan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung UMNO 2021 akan diadakan selama tiga hari bermula 13 Januari tahun hadapan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Rabu.

Beliau berkata, turut ditetapkan adalah tarikh bagi diadakan Persidangan Cawangan pada 15 Oktober hingga 30 November ini disusuli Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian pada 11 dan 12 Disember serta Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 18 Disember depan.

“Semua mesyuarat tidak diadakan pemilihan jawatan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah bersetuju mengenai penangguhan Pemilihan Parti UMNO hingga 29 Disember 2022. Mesyuarat boleh diadakan secara bersemuka atau maya atau gabungan bersemuka dan maya mengikut situasi Covid-19 di kawasan masing-masing.

“Kehadiran mesyuarat adalah dengan korum minimum satu per empat daripada jumlah yang layak hadir atau lebih daripada satu per empat asalkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan mengikut kawasan masing-masing,” katanya.

Ahmad berkata, bersempena Sambutan Jubli Intan 75 Tahun UMNO, parti itu akan mengadakan Majlis Anugerah Tokoh UMNO negeri-negeri dengan 13 veteran parti akan menerima anugerah tersebut antaranya bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff; bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad; bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sabaruddin Chik.

Dalam kenyataan sama, Ahmad turut menegaskan bahawa MT UMNO komited bersama-sama dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan berharap Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan pada Isnin lepas serta inisiatif membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“MT UMNO juga berharap agar krisis kesihatan dan krisis ekonomi dapat diselesaikan seberapa segera agar rakyat dapat hidup dalam suasana Keluarga Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: