PN mula rundingan kerusi PRU15 tanpa UMNO

Muhyiddin (dua dari kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Perikatan Nasional di Kuala Lumpur pada Khamis.
Muhyiddin (dua dari kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Perikatan Nasional di Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) memulakan rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa UMNO, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, ini kerana pihaknya masih tidak mendapat sebarang petunjuk sama ada UMNO mahu berbincang mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Walaupun realitinya dalam kerajaan kita bersama, kita tidak mendapat sebarang petunjuk sama ada mereka (UMNO) mahu terus (bekerjasama) atau mereka mempunyai jalan yang tersendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN di sini pada Khamis.

Muhyiddin menambah, PN mempunyai keputusannya tersendiri yang dirasakan penting untuk dibuat.

Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, PN juga tidak boleh menunggu UMNO semata-mata memandangkan PRU15 semakin hampir.

"Kita jangka pilihan raya umum diadakan mungkin tahun hadapan, tempoh masa tak lama, kalau nak tunggu parti lain buat keputusan akan terganggu urusan persiapan pilihan raya umum yang nak diatur PN.

"Apa yang parti lain nak buat atau putuskan kemudian itu keputusan mereka, kita teruskan dengan pembahagian kerusi antara PN sahaja," ujarnya.

Katanya, PN akan memulakan rundingan kerusi membabitkan lima parti komponen dalam gabungan pada minggu hadapan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bagi semenanjung, rundingan pengagihan kerusi hanya melibatkan Bersatu, Pas dan Gerakan sahaja.

"Kami ada persefahaman dengan parti Sarawak, untuk semenanjung akan runding antara tiga parti sahaja. Bersatu, Pas, dan Gerakan bagi semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

"Untuk Sabah ada dua parti tambahan kita akan bincang khusus di Sabah untuk kerusi Parlimen sahaja manakala Sarawak nanti akan bincang dengan pimpinan parti Sarawak," katanya.