Khazanah serah kepada PLUS bincang lebuh raya bertingkat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Bhd menyerahkan kepada PLUS Expressway Bhd untuk menguruskan perbincangan dengan kerajaan mengenai cadangan pengambilalihan lebuh raya bertol.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata sebagai lebuh raya bertol antara bandar, PLUS menyediakan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya.

“Pada pandangan kami, antara alasan utama ketika ini adalah sebahagian lebuh raya ini membebankan rakyat kerana ia tidak menyediakan alternatif lain.

“Secara perbandingan, PLUS mempunyai banyak alternatif kepada pengguna. Anda tidak semestinya menggunakan PLUS. Kami lihat pengguna memilih sama ada menggunakan PLUS dan membayar untuk keselesaan itu atau menggunakan jalan lain yang telah dibaiki,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Kajian Semula Tahunan Khazanah 2019, di sini, hari ini.

“Sebagai pemegang saham PLUS, kami menyerahkan kepada mereka untuk mengendalikan perbincangan dengan kementerian berkaitan dan kerajaan. Kami akan menasihatkan PLUS dari masa ke masa jika terdapat sebarang hasil daripada rundingan itu,” katanya.

Khazanah dan anak syarikatnya, UEM Group secara kolektif mempunyai 55.25 pegangan peratus dalam PLUS dengan 15.02 peratus telah dicagarkan terhadap sijil amanah boleh tukar yang dikeluarkan oleh Khazanah. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai 12.03 peratus kepentingan dalam PLUS.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan ia telah berunding dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih empat konsesi lebuh raya yang mana syarikat itu mempunyai kepentingan utama. Lebuh raya itu merangkumi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Mengenai Malaysia Airlines Bhd yang telah memasuki fasa akhir pelan pemulihan sebanyak RM6 bilion, Shahril Ridza berkata Khazanah akan memastikan ia dilaksanakan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa depan, bagi Malaysia Airlines dan semua syarikat di bawah Khazanah... tanggung jawab utama untuk menjalankan strategi yang berdaya maju dan berdaya saing harus dipikul oleh pengurusan dan lembaga pengarah syarikat.

“Jadi kami menunggu pengurusan Malaysia Airlines dan lembaga pengarahnya untuk mengkaji semula strategi dan memaklumkan semula kepada kami sebagai pemegang saham dan kemudiannya berbincang dengan kerajaan mengenai tahap sokongan yang diperlukan,” kata beliau.

Malaysia Airlines diswastakan Khazanah sebagai sebahagian daripada program pelan pemulihan lima tahun yang bermula 2014.

Sementara itu dana kewangan berdaulat mencatatkan kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Susut nilai Khazanah berjumlah RM7.3 bilion, dengan kira-kira separuh daripadanya disumbangkan Malaysia Airlines. Jumlah susut nilai pada 2018 adalah tiga kali ganda melebihi susut nilai sebanyak RM2.3 bilion pada 2017.- Bernama