Penjawat awam perlu akur langkah wajibkan vaksin: Cuepacs

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong sepenuhnya langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan semua pegawai perkhidmatan awam di peringkat Persekutuan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Presidennya, Adnan Mat berkata, langkah ini selari dengan aspirasi keseluruhan warga perkhidmatan awam yang menyaksikan hampir 98 peratus telah mendapatkan suntikan vaksin.

“Hanya segelintir daripada penjawat awam ini yang masih belum divaksin.

“Sehubungan itu, Cuepacs meminta semua penjawat awam akur dengan langkah kerajaan ini kerana ia bertujuan memulihkan kembali negara yang terkesan dari sudut ekonomi dan sosial,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

JPA sebelum ini meminta semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin Covid-19.

JPA memaklumkan, langkah itu bagi memberikan keyakinan dan memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Menurut JPA, semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi mereka sebelum 1 November ini.

Mengulas lanjut, Adnan menambah, tempoh masa sehingga 1 November juga adalah munasabah untuk mereka melengkapkan vaksinasi melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah dibuka kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Cuepacs berharap semua ketua jabatan mengambil maklum arahan terbaharu ini dan memaklumkan kepada kakitangan yang masih belum divaksin.

“Sebagai penjawat awam, kita perlu akur dengan arahan ini memandangkan penjawat awam adalah jentera pentadbiran kerajaan yang menjadi pelaksana dan mendukung segala dasar dan polisi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam ini mampu memberikan keyakinan dan jaminan seterusnya melancarkan urusan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Tegasnya, tindakan yang diambil oleh kerajaan bukanlah bertujuan untuk menghukum kerana telah banyak ruang dan peluang diberikan sepanjang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan.

“Sebagai makluman, semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakukan dan Tatatertib) 1993.

“Kita adalah pekerja kerajaan yang menerima arahan kerajaan dan melaksanakan dasar kerajaan yang mengurus semua perkara berkaitan dengan penyampaian perkhidmatan kerajaan,” ujarnya.