[VIDEO] Perlu laksanakan semula program sarapan percuma

Maszlee Malik
Maszlee Malik
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu melaksanakan semula Program Sarapan Percuma (PSP) kepada murid-murid sekolah rendah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pelaksanaan PSP itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 2.7 juta murid untuk tempoh 200 hari setahun, menurut kajian tahun 2019.

Katanya, PSP perlu dilaksanakan semula kerana hakikat yang pahit mengenai wabak Covid-19 yang melanda ialah keadaan ekonomi rakyat menjadi semakin parah.

"Menurut laporan Jabatan Statistik Negara (DOSM), bilangan T20 telah merosot lebih 12 peratus, manakala 20 peratus daripada golongan M40 telah beralih menjadi B40 akibat dampak pandemik.

"Hal ini secara tidak langsung menjejaskan tumbesaran anak-anak dan juga pendidikan mereka. Proses pembesaran kanak-kanak melalui makanan bergizi juga termasuk dalam proses bersepadu pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan RMK12 di sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

PSP yang diutarakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2019 dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada tahun lalu.

Justeru, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam (Bebas) menegaskan, sekiranya PSP diteruskan ia akan memberi manfaat yang lebih besar kerana bilangan murid yang akan diberikan bantuan itu dijangka meningkat pada pasca Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain manfaat kesihatan, anak-anak juga akan mendapat nilai tambah daripada proses didikan kesetaraan dan nilai yang bakal dilaksanakan sepanjang tahun.

"Ini bakal memberi manfaat juga kepada 50,000 orang guru di seluruh negara.

"Jikalau PSP ini dilaksanakan secara keseluruhannya, sebanyak 7,772 sekolah bakal terlibat dan ini akan menguntungkan pembekal ayam, daging dan ikan serta barang basah yang lain seperti sayur, roti, beras tempatan dan di dalam lokaliti sekolah-sekolah tersebut," katanya.

Maszlee memberitahu, daripada ribuan pembekal berkenaan, ratusan ribu pekerja daripada pekerja pembekalan termasuk pekerja kantin akan dapat menstabilkan semula pendapatan keluarga mereka yang teruk dihenyak dampak wabak Covid-19.

Katanya, secara purata terdapat sekitar 100,000 orang pekerja kantin di seluruh negara dan ini bermakna dianggarkan sekitar 500,000 ahli keluarga pekerja yang akan mendapat manfaat secara langsung daripada PSP.