Gelembung Langkawi: Kanak-kanak tiga tahun positif Covid-19

Seorang kanak- kanak berusia tiga tahun direkodkan sebagai pelancong pertama dijangkiti Covid-19 di bawah projek rintis gelembung pelancongan Langkawi.- Gambar hiasan, gambar kecil: Dr Othman Warijo
Seorang kanak- kanak berusia tiga tahun direkodkan sebagai pelancong pertama dijangkiti Covid-19 di bawah projek rintis gelembung pelancongan Langkawi.- Gambar hiasan, gambar kecil: Dr Othman Warijo
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang kanak- kanak berusia tiga tahun direkodkan sebagai pelancong pertama dijangkiti Covid-19 di bawah projek rintis gelembung pelancongan Langkawi.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai import B (kes rentas negeri).

Menurutnya, hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi mendapati kanak-kanak yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu tiba di Langkawi pada 24 September lalu bersama ibu dan bapanya.

"Mereka tiba pada jam 7.30 malam dengan menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA2) dan kedua ibu dan bapanya telah mendapat vaksinasi lengkap.

"Malah mereka juga bukan kes positif Covid-19 atau kontak rapat kepada kes positif Covid-19 serta tidak bergejala," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Dr Othman berkata, saringan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen menggunakan air liur ke atas ibu dan ayahnya juga adalah negatif ketika di KLIA2 sebelum berlepas ke Langkawi.

"Kita dimaklumkan kanak-kanak ini tidak mengalami gejala sebelum perjalanan dan semasa saringan kesihatan di KLIA2 serta berlepas ke Langkawi.

"Kanak-kanak ini juga memakai pelitup muka sepanjang berada di KLIA2, dalam penerbangan dan semasa berada di Langkawi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, kanak-kanak terbabit mulai demam pada 25 September dan dibawa mendapatkan rawatan keesokannya.

"Dia kemudiannya disahkan positif Covid-19 dan hasil siasatan mendapati selain ibu dan ayahnya, terdapat tiga orang saudara yang merupakan penduduk tempatan Langkawi menjadi kontak rapat kepada kanak-kanak ini.

"Kesemua individu kontak rapat telah menjalani swab test dan keputusannya adalah negatif, kesemua mereka juga dikuarantin selama 10 hari," katanya.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati kemungkinan jangkitan ke atas kanak-kanak ini berlaku sebelum beliau melancong ke Langkawi.

"Keadaan pesakit ketika ini dilaporkan hanya bergejala ringan dan diletakkan di bawah pemantauan pasukan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) daerah Langkawi, manakala kontak rapat yang lain adalah tidak bergejala dan semuanya telah lengkap vaksinasi.

"Sehingga hari ini, hanya satu kes positif dilaporkan melibatkan pelancong ke Langkawi dan tidak ada penularan di kalangan ahli keluarga dan penduduk tempatan.

"Siasatan lanjut dan pengesanan kontak rapat masih diteruskan. Kita akan memantau perkembangan kejadian jangkitan serta memastikan langkah-langkah pencegahan serta kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan," katanya.