Kakitangan bahagian perolehan syarikat berisiko tinggi terdedah rasuah

Izani Wan Ishak
Izani Wan Ishak
A
A
A

SHAH ALAM - Pegawai dan kakitangan di bahagian perolehan dalam sesebuah syarikat dikenal pasti berisiko tinggi terdedah kepada gejala rasuah kerana mereka mempunyai segala maklumat yang diperlukan oleh pembekal atau kontraktor bagi merebut tender atau projek.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Izani Wan Ishak berkata, pembocoran maklumat itu tidak akan berlaku dengan sendirinya melainkan terdapat tawaran lumayan yang disediakan oleh pembekal atau kontraktor.

“Apabila kontraktor atau pembekal dapat tahu harga dan standard yang diperlukan oleh sesebuah syarikat untuk satu projek, ia akan menjadi kelebihan untuk mereka dalam merebut atau memenangi tender.

“Malah hasil siasatan kita juga mendapati pegawai yang bekerja di bahagian perolehan tidak kira di sektor kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta, mereka juga akan membantu petender untuk dapat sebut harga, seterusnya memudahkan mereka untuk mendapatkan projek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada webinar bertajuk Bersama Memerangi Rasuah yang dianjurkan oleh Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dan Rasuah Busters pada Khamis.

Hadir sama sebagai panelis ialah Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal; Pengarah Bahagian Penyelidikan Anti-Rasuah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Rasidah Abdul Karim; Pengurus C4 Center Sudhagaran Stanley, dan Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebelum ini, antara halangan SPRM dalam menyiasat kes jenayah rasuah ialah kurang kerjasama daripada orang ramai terutamanya melibatkan individu yang berkuasa dan terdedah secara politik (politically exposed person).

Namun katanya, disebabkan kesedaran berkaitan jenayah rasuah sudah mula timbul dalam masyarakat, kini pihak SPRM tidak mempunyai masalah dalam menyiasat kes yang melibatkan jenayah tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Saya lihat masyarakat kini sudah mula ada kesedaran berkaitan jenayah rasuah. Mereka kini seolah tidak boleh bersekongkol atau bekerjasama bersama individu yang terlibat dalam jenayah tersebut,” katanya.

Sementara itu Rasidah berkata, Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang diperkenalkan sebelum ini tidak akan berjaya sekiranya ia hanya melibatkan satu entiti atau badan.

Justeru beliau berkata, semua pihak harus terlibat dalam merealisasikan NACP yang dilihat sebagai senjata dalam membasmi masalah rasuah di Malaysia.

“Kita perlu libatkan menteri, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, ketua jabatan, masyarakat sivil dan banyak pihak lagi bagi menjayakan NACP.

“Kalau tiada penglibatan semua pihak NACP hanya akan menjadi dokumen semata-semata,” katanya.

Senada pandangan bersama Rasidah ialah Nurhayati yang menyifatkan semua pihak perlu bekerjasama dan mengembleng tenaga dalam membendung jenayah rasuah dari semua sudut.

“Disebabkan perkara itu Rasuah Busters ditubuhkan atas tanggung jawab sebagai rakyat bersama-sama mengajak orang ramai menolak budaya rasuah yang dilihat merosakkan sistem nilai dalam diri individu,” katanya.