Najib arah tidak masuk isu sensitif babitkan Jho Low dalam laporan audit

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, untuk perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, untuk perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas Perdana Menteri itu mengarahkannya supaya tidak memasukkan isu sensitif membabitkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dalam laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) agar ia tidak dijadikan 'isu' oleh pembangkang.

Tan Sri Shukry Mohd Salleh, 67, memberitahu, arahan itu dikeluarkan ketika beliau berjumpa Najib di pejabatnya, dua hari selepas mesyuarat membabitkan laporan audit diadakan di pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa, pada 24 Februari 2016.

"Pada 26 Februari 2016, saya telah berjumpa dengan Najib di pejabatnya dan Najib mengarahkan saya lebih kurang begini, 'Shukry, you cakap dekat audit supaya isu-isu sensitif dan tak relevan termasuklah Jho Low dalam 1MDB tak dimasukkan dalam laporan. Nanti perkara ini dapat dekat pembangkang, boleh dijadikan isu'," katanya.

Shukry yang telah bersara berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan meminda laporan audit akhir 1MDB.

Menurut saksi pendakwaan ke-11 itu, beliau kemudiannya menghubungi Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, yang ketika itu bekas Pengarah Audit di Jabatan Audit Negara (JAN) dan menyampaikan arahan Najib.

Menurut Shukry, pada 23 Februari 2016, beliau bersama Tan Sri Ambrin Buang, yang ketika itu Ketua Audit Negara telah berjumpa dengan Ali di pejabatnya dan semasa perjumpaan itu, mereka dimaklumkan oleh Ali bahawa satu mesyuarat akan diadakan pada 24 Februari 2016 dan telah menjemput wakil-wakil daripada JAN, 1MDB, Perbendaharaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Dalam perjumpaan itu, saya telah memaklumkan kepada Tan Sri Ali dan Tan Sri Ambrin bahawa isu 1MDB telah menjadi satu krisis yang perlu ditangani dengan segera. Apa yang saya maksudkan dengan 'krisis yang perlu ditangani dengan segera' ialah isu 1MDB telah menjadi tumpuan semua pihak di dalam dan di luar negara.

"Sebelum berjumpa dengan Tan Sri Ambrin, saya dan Tan Sri Ali ada berjumpa dengan Arul Kanda secara berasingan yang Arul Kanda telah menerangkan kepada Tan Sri Ali berkaitan isu-isu kewangan 1MDB," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadia Zulkefli.

Artikel Berkaitan:

Shukry yang menamatkan kontrak sebagai Ketua Setiausaha Sulit Najib pada 30 September 2016 berkata, beliau telah menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ali di pejabatnya pada 24 Februari 2016 dan kehadirannya ke mesyuarat itu telah mendapat persetujuan daripada Najib.

"Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Arul Kanda, wakil JAN iaitu Ambrin dan Saadatul Nafisah, wakil Perbendaharaan iaitu Datuk Seri Mohmad Isa Hussain dan Asri Hamidin@ Hamidon, wakil AGC Datuk Dzulkifli Ahmad dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Tan Sri Ali, Datuk Norazman Ayob.

"Dalam mesyuarat itu, KSN (Ali) telah memaklumkan bahawa tujuan mesyuarat diadakan untuk menyelaras beberapa perkara yang Najib tidak berpuas hati yang terdapat dalam laporan audit 1MDB," katanya dan menambah mesyuarat itu turut membincangkan mengenai dua versi berbeza penyata kewangan 1MDB bagi tahun 2014.

Shukry menjelaskan, beliau ada menyatakan bahawa perkara itu boleh mendatangkan impak kepada keyakinan pihak luar terhadap negara sekiranya sesebuah syarikat besar di bawah kerajaan seperti 1MDB boleh dimanipulasi, ia boleh memberi implikasi kepada sentimen pelaburan.

"Dalam mesyuarat itu, KSN telah mengarahkan Mohmad Isa membuat laporan polis berkenaan dua versi berbeza penyata kewangan 1MDB bagi tahun 2014 supaya siasatan dapat dilaksanakan dan hasil daripada mesyuarat itu, Tan Sri Ambrin bersetuju untuk mengeluarkan perkara tersebut daripada Laporan Pengauditan 1MDB," katanya.

Menurut Shukry, beliau turut membangkitkan isu berkenaan penangguhan terbitan Islamic Medium Term Notes (IMTN) dan Najib juga tidak memaklumkan kepada Jemaah Menteri berkenaan penangguhan tersebut semasa Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM).

IMTN adalah membabitkan Terengganu Investment Authority (TIA). TIA dinamakan sebagai 1MDB pada 2009.

Saksi itu juga berkata, ayat yang digunakan dalam laporan audit itu menunjukkan seolah-olah Najib sedang menyembunyikan sesuatu dan pada ketika itu, beliau hanya melontarkan persoalan sama ada Najib berkewajipan mengikut undang-undang dan peraturan untuk memaklumkan kepada MJM berkenaan hal tersebut.

"Mesyuarat bersetuju untuk menggugurkan perkara itu setelah mendapat pandangan perundangan daripada wakil AGC, Dzulkifli," katanya.

Sementara itu, ketika disoal Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram sama ada saksi berkenaan mengetahui kaitan antara Najib dan 1MDB, Shukry menjawab: Saya hanya tahu beliau (Najib) sebagai pengerusi.

Selepas saksi itu selesai membacakan pernyataan saksi, rakaman audio mesyuarat penyelarasan laporan audit 1MDB pada 24 Feb 2016, berdurasi dua jam 45 minit itu diperdengarkan semula di mahkamah dan Shukry mengesahkan hadir pada mesyuarat berkenaan berdasarkan rakaman audio itu dan suara dalam rakaman audio itu adalah miliknya.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelak Ahli Parlimen Pekan itu dikenakan tindakan.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 20 Oktober ini. -Bernama