Perkhidmatan funikular Bukit Bendera dibuka semula Jumaat ini

Perkhidmatan funikular Bukit Bendera dibuka semula kepada pengunjung bermula 1 Oktober.
Perkhidmatan funikular Bukit Bendera dibuka semula kepada pengunjung bermula 1 Oktober.
A
A
A

GEORGETOWN - Perkhidmatan funikular Bukit Bendera dibuka semula kepada pengunjung bermula Jumaat ini.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) berkata, selari dengan pengumuman Kerajaan Persekutuan dan berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN), pihaknya akan membuka semula perkhidmatan itu secara berperingkat dan beroperasi setiap jam bermula seawal 6.30 pagi dengan 50 peratus kapasiti.

"Bermula 1 Oktober ini, pengunjung sudah boleh mengunjungi Bukit Bendera yang mana perkhidmatan funikular akan beroperasi dari jam 6.30 pagi diikuti jam 7 pagi dan seterusnya pada setiap satu jam.

"Perkhidmatan funikular terakhir adalah pada jam 8 malam dan akan ditambah mengikut keadaan semasa. Pengunjung dinasihatkan melayari laman media sosial PBBPP untuk mengetahui sebarang perubahan jadual perkhidmatan funikular," kata kenyataan itu pada Khamis.

Menurut PBBPP lagi, pengunjung yang menggunakan perkhidmatan funikular di Stesen Bawah dan Stesen Atas diminta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh pihak berkuasa dan PBBPP.

"Pengunjung mesti sudah lengkap vaksinasi selain berisiko rendah dan tiada gejala dalam status risiko Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera.

"Selain itu, pengunjung perlu mematuhi SOP biasa antaranya mengimbas suhu badan; sentiasa memakai pelitup muka dengan betul; menjaga penjarakan fizikal serta kerap sanitasi tangan," menurut kenyataan itu.

Pada 13 September lalu, perkhidmatan funikular Bukit Bendera ditutup sementara secara berperingkat bagi kerja penyelenggaraan yang diawalkan tahun ini selepas menjangkakan sektor pelancongan beransur pulih pada suku pertama tahun depan.

Artikel Berkaitan:

PBBPP memaklumkan perkhidmatan itu akan ditutup pada 16 hingga 17 November; 23 hingga 24 November, 30 November hingga 1 Disember dan 7 hingga 8 Disember.

Pengunjung boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan jip yang dikendalikan oleh Persatuan Penduduk Bukit Bendera di pintu masuk jalan jip berdekatan Taman Botani atau menggunakan laluan mendaki untuk sampai ke puncak Bukit Bendera semasa tempoh penutupan.