X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Banjir merah landa Kampung Seri Jaya Baru Tampoi

Air banjir berwarna merah di Kampung Seri Jaya Baru Tampoi. - Foto Bomba
A
A

JOHOR BAHRU - Penduduk Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi di sini gempar apabila perkampungan berkenaan dilanda air banjir berwarna merah pada awal pagi Khamis dipercayai berpunca dari sebuah kilang elektronik berhampiran yang sudah tidak beroperasi sejak setahun lalu.

Penduduk Azmi Misri, 54, berkata, fenomena banjir merah yang yang melanda kira-kira jam 5 pagi itu pertama kali berlaku dan mengejutkan penduduk yang kemudiannya tular di media sosial.

Beliau yang merupakan mantan ketua kampung berkata, banjir kilat sering melanda kampung disebabkan pertembungan air Sungai Sekudai.

"Banjir kilat memang sering melanda kawasan ini apabila hujan lebat bertembung dengan air pasang, namun banjir merah pagi tadi (Khamis) tidak pernah berlaku.

"Saya dan penduduk di sini percaya banjir merah ini berpunca dari kilang elektronik berhampiran yang setahun sudah tidak beroperasi, berikutan bau minyak yang kuat dipercayai dari mesin dan bahan yang ditinggalkan di situ," katanya.

Azmi berharap kejadian banjir merah ini dapat disiasat pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kerana dikhuatiri menjejaskan kesihatan penduduk.

Air banjir berwarna merah di Kampung Seri Jaya Baru Tampoi. - Foto Bomba
Air banjir berwarna merah di Kampung Seri Jaya Baru Tampoi. - Foto Bomba

"Kawasan Kampung Seri Jaya Baru dan Kampung Pasir kerap dilanda banjir kilat. Bulan Januari dan April lalu, kampung sudah dinaiki air.

"Tiga pam yang sepatutnya mengepam limpahan air di tali air serta anak sungai ketika hujan lebat, yang terletak di kampung ini difahamkan sudah rosak dan tidak dapat berfungsi menyebabkan kerap berlaku banjir kilat," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Mohd Yazid Abdul Rahman, berkata, air banjir kilat itu naik hingga ke paras satu meter sebelum surut kira-kira jam 8.30 pagi.

"Anggota bomba melakukan pemantauan di perkampungan berkenaan berikutan risau air banjir berwarna merah itu boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

"Namun air merah itu surut dalam tempoh beberapa jam kemudian dan tiada masalah lain yang timbul.

"Penduduk berkenaan juga tidak dipindahkan ke kawasan lain dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Pihak kami juga tidak dapat mengenal pasti punca kejadian air banjir bertukar warna itu," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!