Permohonan Bajet 2022 KPDNHEP tumpu empat perkara utama

Alexander Nanta Linggi - Foto Bernama
Alexander Nanta Linggi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Permohonan Bajet 2022 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal pengguna (KPDNHEP) akan tertumpu kepada empat perkara utama.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, antara fokus tersebut ialah membantu golongan rentan dan tercicir, memulihkan sektor yang terjejas dan memastikan kelangsungan perniagaan.

“Menyasarkan bantuan kepada individu dan perniagaan yang terjejas akibat Covid-19 serta jaminan bekalan makanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Pada Rabu, Alexander terlibat dalam satu sesi libat urus bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi membincangkan permohonan Bajet 2022 tersebut.

Perbincangan tersebut berjalan lancar dan menerima sokongan yang amat baik daripada pihak Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam pada itu, Alexander berkata, Kempen Beli Barangan Malaysia yang menerima peruntukan sebanyak RM20 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pada tahun ini membuahkan impak yang positif dalam menggerakkan ekonomi tempatan.

“Justeru, saya telah menyarankan agar Kempen Beli Barangan Malaysia diperkasakan dan dijadikan strategi utama KPDNHEP untuk merancakkan semula aktviti ekonomi dalam peralihan negara memasuki fasa endemik.

“Pemerkasaan kempen ini akan melibatkan usahasama strategik dengan pasar raya, market place serta stesen minyak di seluruh negara,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, Program Jualan Rakyat, Program Jualan Malaysia dan Program Pengembangan Industri Jualan Langsung termasuk Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (REDI) akan terus dipergiatkan dan diperluaskan pada tahun 2022.

Menurutnya, ia mengambil kira akan isu semasa serta cabaran yang dihadapi oleh sektor-sektor ekonomi yang terjejas pada masa ini.

“Saya juga telah mengemukakan beberapa cadangan inisiatif baharu untuk pertimbangan MOF sebagai langkah proaktif bagi memulihkan sektor yang terjejas itu di samping memastikan kelangsungan perniagaan,” jelasnya.