MOSTI peruntuk RM15 juta projek vaksin Covid-19: Dr Adham

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan lebih RM15 juta untuk projek pembangunan vaksin Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, peruntukan itu diberi kepada beberapa institusi penyelidikan yang melaksanakan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin Covid-19 tersebut seperti Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) di bawah Universiti Malaya (UM) dan saintis di Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi peruntukan R&D bagi membangunkan vaksin Covid-19 di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) milik KKM yang mula dirancang sejak awal April 2020.

"Terdapat dua teknologi vaksin Covid-19 sedang dibangunkan di IMR, KKM iaitu Teknologi Vaksin mRNA dan Teknologi Vaksin Virus Ternyahaktif," katanya dalam sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

DrAdham (UMNO, Tenggara) menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (UMNO-Pontian) mengenai persiapan kerajaan menghasilkan vaksin terhadap varian baharu Covid-19 dan varian sedia seperti alpha, delta dan lambda.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, vaksin di IMR akan dibangunkan secara strategik bersama penyelidik dari UPM dan Institut Penyelidikan Veterinar (VRI).

Menurutnya, kedua-dua projek itu berada di peringkat makmal, iaitu bukti konsep (Proof of Concept) sebelum fasa kajian pra-klinikal (haiwan) dilaksanakan.

Katanya, status terkini pembangunan vaksin Covid-19 di IMR yang membabitkan vaksin virus ternyahaktif pula berada di tahap penyahaktifan virus.

Artikel Berkaitan:

"Vaksin mRNA sedang menjalani proses transkripsi tabung ujia atau 'in vitro transcription'," katanya.

Jelas beliau, dengan kemahiran menjalankan pembangunan vaksin Covid-19, teknologi vaksin tersebut boleh digunakan untuk menghasilkan vaksin bagi mencegah jangkitan bakteria atau virus lain serta rawatan penyakit kronik.

Dr Adham berkata, seiring usaha itu MOSTI membangunkan Pelan Pembangunan Vaksin Negara dengan tujuan memastikan Malaysia mampu menjadi negara pengeluar vaksin manusia dalam tempoh 10 tahun dan ia tidak terikat kepada vaksin Covid-19 sahaja.

Katanya, jawatankuasa bagi membangunkan pelan tersebut dipengerusikan bersama antara MOSTI dan KKM.