Covid-19: Rakyat Selangor diingatkan tidak alpa, lalai

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Selangor diingatkan tidak alpa dan lalai walaupun situasi Covid-19 di negeri ini semakin pulih dengan jumlah kes, kadar penggunaan katil dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) menurun.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, mereka juga diingatkan agar meneruskan amalan norma baharu dengan memakai pelitup muka, penjarakan fizikal serta kebersihan diri.

“Alhamdulillah situasi Covid-19 di Selangor telah semakin pulih. Jumlah kes, kadar penggunaan katil dan ICU telah menurun. Namun kita jangan sesekali alpa dan lalai.

“Teruskan amalan norma baharu, pakai pelitup muka, jaga jarak fizikal dan kebersihan diri,” kata Amirudin dalam catatan di laman Facebooknya pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut memuat naik rakaman suara ketika berucap di Sidang Dewan Negeri Selangor agar penduduk di negeri itu terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) agar kejayaan hari ini tidak menjadi sia-sia.

“Amaran saya sekali lagi, jangan gembira sangat. Walaupun ada cahaya di hujung terowong, kita kena lihat pengajaran dari negeri-negeri lain.

“Kalau kita tak mengekalkan apa yang dikatakan norma baharu, pakai pelitup muka, bersihkan tangan, kita masih menggangap ini sebagai pandemik, tidak menggangapkan sebagai satu endemik, ia akan jadi musnah,” katanya.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri dilaporkan berkata, peralihan fasa itu dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).