'Saya mangsa kerana dana politik tak diaktakan' - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan. - Foto fail Bernama
Ahmad Maslan. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan syor di Dewan Rakyat pada Khamis agar Akta Pendanaan Politik diwujudkan kerana menyifatkan dirinya sendiri sudah menjadi ‘mangsa’.

“Saya adalah mangsa kerana dana politik tidak diaktakan. Mujurlah semalam saya dibebaskan dan dilepaskan.

“Maka saya ingin syorkan supaya akta dana politik diadakan dalam penggal ini dan ada rang undang-undang (RUU) sebab telah disebut oleh perdana menteri bahawa ia akan diperkenalkan,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Bagaimanapun Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) ketika mencelah mempersoalkan mengapa Ahmad tetap dikompaun jika benar telah menjadi mangsa.

Ahmad bagaimanapun menjelaskan beliau pernah ditawarkan kompaun pada Oktober 2019 tetapi memilih untuk dibicarakan.

“Apabila saya telah ditawarkan kompaun, saya lawan kerana ada yang dikompaun 50 kali ganda Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ada yang terima RM100,000 dikompaun 25 kali ganda, maka saya lawan ketika itu.

"Tapi saya melihat lambat betul proses, saya mengaku pada SPRM saya terima RM1.1 (juta) saya tidak mengaku saya terima RM2 (juta).

“Kemudian Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan. Oleh kerana saya telah membayar, saya telah lepas dan bebas. Itu keputusan mahkamah yang patut kita hormati,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebas dan melepaskan Ahmad daripada pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada SPRM.

Ia ekoran tindakan pendakwaan yang menarik balik kedua-dua tuduhan selepas Ahli Parlimen Pontian itu setuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta.