Indeks Harga Pengeluar Ogos naik 11.3 peratus

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

INDEKS Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia bagi pengeluaran tempatan meningkat 11.3 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2021 berbanding negatif 2.8 peratus pada bulan yang sama tahun sebelumnya, dipacu terutamanya oleh indeks perlombongan yang melonjak 51.8 peratus.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan IHPR turut disokong oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan yang mengembang 27.6 peratus tahun ke tahun, pembuatan 7.1 peratus dan bekalan elektrik dan gas (0.4 peratus).

Bagaimanapun, indeks bekalan air turun 0.4 peratus, katanya sambil menambah disebabkan oleh kesan asas pada tahun lalu, beberapa komoditi utama dilihat mencatatkan peningkatan luar biasa tahun ini.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, Mohd Uzir memberitahu, IHPR pengeluaran tempatan yang mengukur kos barangan di pintu kilang meningkat 0.6 peratus pada Ogos 2021, pertumbuhan yang sama direkodkan pada Julai 2021.

"Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan naik 2.8 peratus pada Ogos berbanding 2.2 peratus dicatatkan pada bulan sebelumnya.

"Kenaikan 0.6 mata peratus ini dipengaruhi terutamanya oleh harga yang lebih tinggi bagi ayam (5.2 peratus) dan buah tandan segar (3.6 peratus), tambah beliau.

Mohd Uzir menjelaskan, indeks perlombongan mencatatkan penurunan 0.8 peratus disebabkan oleh penurunan harga bagi minyak mentah (-2.9 peratus) walaupun kenaikan harga berterusan bagi komoditi gas asli (10.1 peratus).

Bagaimanapun, indeks pembuatan mencatatkan peningkatan 0.4 peratus disumbangkan oleh kenaikan harga bagi komoditi petroleum bertapis (2.0 peratus), komoditi berasaskan minyak dan lemak sayuran dan haiwan (0.5 peratus) dan produk berkaitan komponen dan papan elektronik (0.4 peratus).

Artikel Berkaitan:

Indeks bekalan elektrik dan gas turut meningkat 0.1 peratus manakala indeks bekalan air turun negatif 0.2 peratus, katanya. -Bernama