Lebih 400,000 individu bawah 18 tahun dijangkiti Covid-19 tahun ini

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan lebih 400,000 individu bawah 18 tahun dijangkiti virus Covid-19 pada tahun ini berbanding 12,000 kes pada tahun lalu termasuk 62 kematian.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, daripada jumlah tersebut, 252,569 adalah melibatkan murid sekolah dan 42,831 kes merupakan kanak-kanak prasekolah.

"Ketika ini, kita sedang menghadapi pandemik Covid-19 dan dijangka akan hidup bersama virus untuk satu tempoh masa yang panjang. Risiko ini bukan sahaja kepada golongan dewasa malah juga kepada anak-anak kita.

“Penularan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun telah menyaksikan trend peningkatan untuk tahun ini,” katanya dalam ucaptama Webinar Hidup Bersama Virus Covid-19: Kanak-Kanak dan Remaja secara maya pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga telah memulakan suntikan vaksin kepada golongan remaja antara umur 12 tahun sehingga 17 tahun sebagai usaha untuk melindungi mereka.

Menurut Khairy, lebih 30 peratus daripada keseluruhan 2.5 juta sasaran vaksinasi remaja telah menerima dos pertama mereka ketika ini.

“Namun begitu, walaupun ia memberikan perlindungan daripada kesan buruk Covid-19 tetapi masih belum cukup,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembudayaan amalan norma baharu masih perlu dipraktikkan bagi memastikan anak-anak dapat melindungi diri daripada risiko jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Antaranya, pemakaian pelitup muka sepanjang masa, membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan serta mengamalkan penjarakan fizikal yang perlu diterapkan kepada anak-anak.

“Selain itu, etika batuk dan bersin dengan betul, tidak hadir ke sekolah jika bergejala atau mempunyai kontak positif Covid-19, memastikan pengudaraan yang baik di sekolah dan melaksanakan disinfeksi di sekolah," katanya.

Khairy berkata, usaha ini juga adalah satu persiapan dan persediaan warga sekolah dan ibu bapa untuk anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.

“Apa yang penting kita perlu pastikan mereka boleh beradaptasi situasi ini dengan memberikan sokongan dan galakan kepada mereka untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tidak kira sama ada mereka telah divaksin atau tidak,” katanya.

Tambah beliau, ibu bapa perlu memastikan anak-anak membudayakan cara hidup sihat dengan mempraktikkan hidup aktif, makan secara sihat dan selamat, memupuk minda yang sihat dan menjauhi amalan merokok.

“Besar sungguh hasrat saya, sekiranya semua pihak termasuk warga institusi pendidikan dan ibu bapa dapat memberikan kerjasama dengan memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengharapkan amalan norma baharu serta memastikan persekitaran hidup yang selamat dalam kita berhadapan dengan cabaran Covid-19," katanya.