X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 19 Mei 2022

RMK12: Strategi bebaskan Sabah daripada kemiskinan

A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan perlu menggariskan matlamat dan strategi khusus bagi membebaskan Sabah daripada menjadi antara negeri terendah dan paling perlahan pertumbuhan ekonominya serta memiliki paras kemiskinan tertinggi di negara ini menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr Jain Yassin berkata, pendekatan lebih strategik penting bagi memanfaatkan sepenuhnya inisiatif yang diberikan kepada Sabah dalam RMK12 serta memastikan pelaksanaannya memberi impak signifikan kepada negeri itu.

Jain optimis inti pati RMK12 secara keseluruhannya mampu membebaskan Sabah daripada label ‘negeri termiskin’, namun strategi khusus daripada perspektif Sabah bagi menyokong pertumbuhan sosioekonomi negeri perlu diberi keutamaan.

“Status Sabah sebagai negeri termiskin sudah melebihi lima tahun. Justeru, isu ini seharusnya diberi tumpuan khusus dan diletakkan sebagai matlamat utama (dalam RMK12) agar objektif ditetapkan tercapai secara menyeluruh dan tidak lagi diulang dalam perancangan (RMK) berikutnya,” katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK12 merangkumi sembilan fokus utama antaranya merancakkan pertumbuhan ekonomi; membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan; serta melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun.

Jain, yang aktif di lapangan bagi melokalisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) di bawah Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia berkata, Sabah berbeza dengan negeri lain dan isu kemiskinan di Sabah terlalu kompleks yang memerlukan pendekatan lebih komprehensif mengikut kawasan dan keperluan setiap daerah.

Walaupun pertumbuhan ekonomi tetap ada, namun ia berlaku perlahan dan tidak menyeluruh menyebabkan Sabah masih ketinggalan dalam pelbagai aspek infrastruktur dan perhubungan terutama luar bandar, selain pembangunan dibuat secara selektif berdasarkan keadaan geografi dan bentuk muka bumi sesebuah daerah, katanya.

“Justeru, keupayaan RMK12 untuk membebaskan Sabah daripada menjadi negeri paling akhir dalam pertumbuhan ekonomi dan kemiskinan bergantung kepada perlaksanaan serta pengagihan Belanjawan 2022-2025,” katanya yang melihat faktor geografi dan keluasan negeri perlu dijadikan indikator pengagihan belanjawan.

Sementara itu, Jain turut mengemukakan beberapa cadangan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah menerusi RMK12 antaranya memperkasa pertubuhan komuniti sebagai pasukan petugas bagi melonjakkan motivasi penduduk agar menyertai aktiviti ekonomi kerana ia dilihat lebih berkesan daripada hanya menyediakan dana atau kursus tahunan.

Beliau berkata, usaha mencapai objektif RMK12 juga perlu melibatkan kerjasama badan bukan kerajaan merentasi kawasan luar bandar dan pedalaman; memantapkan kerjasama konsep bipartisan agar rancangan pembangunan berjalan lancar, selain menekankan inovasi sektor tradisional seperti pertanian dan perikanan.

Jain berkata, pemetaan isu perlu dilakukan secara berterusan memandangkan setiap daerah di Sabah mempunyai isu ekonomi berlainan; selain memastikan semua inisiatif kerajaan dilaksanakan adalah bersesuaian mengikut keperluan agar diterima baik dan memberi impak positif kepada komuniti.

“Kemiskinan bandar di Sabah juga perlu diambil kira merangkumi kos sara hidup tinggi seperti harga rumah dan peningkatan jumlah penduduk termasuk tanpa kewarganegaraan,” katanya yang optimis Sabah akan berjaya keluar daripada zon negeri termiskin apabila kadar pertumbuhan ekonominya lebih cepat berbanding negeri lain.

Kerajaan Sabah ujar beliau, juga harus menggariskan pendekatan mikro dalam melaksanakan RMK12 di peringkat negeri supaya usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi, yang turut menjadi agenda kerajaan negeri, dapat direalisasikan demi manfaat rakyat.

Pandangan sama turut dikongsi Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Ekonomi) UiTM Sabah, Herniza Roxanne Marcus.

Beliau berpendapat inti pati RMK12 akan menjadi pemangkin yang dapat dilaksanakan seiring dengan hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021 hingga 2025.

Beliau yakin kerajaan Persekutuan komited menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963; selain terus membangunkan infrastruktur asas; kawal selia gas dan elektrik; pendigitalan dan keselamatan; menaik taraf jalan berturap luar bandar dan menyiapkan Lebuh Raya Pan Borneo.

“Jika semua perancangan RMK12 berjalan mengikut jadual, ia bukan sahaja dapat memajukan ekonomi Sabah, malah hubungan antara sempadan seperti Kalimantan juga akan dapat diperkukuhkan dan aktiviti ekonomi lebih mudah dijalankan sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan negeri,” katanya.

Selain merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar serta mengurangkan kadar kemiskinan, pertumbuhan ekonomi Sabah juga dijangka meningkat sebanyak 6.5 peratus jika perlaksanaan RMK12 berjalan lancar, katanya. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!