Ronaldo bikin Villarreal berputih mata di Old Trafford

Ronaldo meraikan jaringan bersama Lingard selepas meledak gol kedua Manchester United pada perlawanan tersebut. - Foto Manchester United FC
Ronaldo meraikan jaringan bersama Lingard selepas meledak gol kedua Manchester United pada perlawanan tersebut. - Foto Manchester United FC
A
A
A

PENYERANG sensasi The Red Devils, Cristiano Ronaldo muncul penyelamat maruah Manchester United apabila jaringan masa kecederaannya memastikan kemenangan berharga 2-1 ke atas Villarreal dalam perlawanan kumpulan F Liga Juara-Juara di Old Trafford, pada Khamis.

Pada perlawanan yang menyaksikan kapten Portugal itu mencipta rekod baharu penampilan di kejuaraan tersebut, pemain berusia 36 tahun berkenaan berjaya menghadirkan naluri pembunuhnya bagi menyelamat maruah pengendali Ole Gunnar Solskjaer daripada mengakhiri saingan dengan keputusan mengecewakan di laman sendiri.

Skuad kendalian Solskjaer yang diaibkan kelab kerdil Switzerland, Young Boys sebelum itu terlebih dulu dikejutkan jaringan Paco Alcacer pada minit ke-53' sebelum voli minit ke-60', Alex Telles menyamakan kedudukan buat tuan rumah yang selepas itu gagal meneruskan transisi kebangkitan.

Manchester United sebelum itu yang tewas tiga dalam empat perlawanan terakhir semua pertandingan termasuk tewas dalam perlawanan pembukaan kejuaraan berprestij kelab Eropah itu, gagal menyaingi ketajaman penyudah The Yellow Submarine kendalian Unai Emery itu.

Villarreal yang meranapkan impian Solskjaer untuk trofi pertama sebagai pengendali Manchester United menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir Liga Europa musim lalu, ternyata lebih tersusun dan kompak dalam mengasak pertahanan tuan rumah.

The Red Devils juga ternyata terkesan tanpa kelibat Aaron Wan Bissaka, Harry Maguire dan Luke Shaw menerajui benteng pertahanan tuan rumah apabila Diogo Dalot sering diuji sepanjang 45 minit babak pertama perlawanan sebelum itu.

Ketika perlawanan berintensiti tinggi tersebut seolah-olah memberi bayangan keputusan seri, Ronaldo yang juga bekas tonggak Juventus hadir penyelamat apabila meledak gol kemenangan untuk tiga mata Manchester United selepas menyudahkan hantaran Jesse Lingard untuk gol minit 95'.

Keputusan itu menyaksikan Manchester United kini berada di kedudukan ketiga dibelakang Young Boys diikuti Villarreal tercorot manakala manakala Atalanta memimpin kumpulan.

Artikel Berkaitan: