X

Kindly register in order to view this article
!

Memulih kembali kepercayaan rakyat

A
A

ALHAMDULILLAH Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih telah berlalu. Barisan Nasional (BN) berjaya mencapai kemenangan yang sangat signifikan. Apa pun kemenangan ini diterima dengan penuh rasa kesyukuran, rendah diri dan penuh keinsafan kepada ALLAH SWT.

Kami tidak mempunyai sebarang perasaan angkuh dan sombong, bahkan menerima kemenangan ini sebagai satu proses muhasabah yang berterusan dan panjang untuk memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang ada pada parti UMNO dan BN. Keputusan ini juga menunjukkan betapa rakyat menghantar isyarat jelas bahawa mereka inginkan sebuah kerajaan yang lebih baik wujud di Malaysia. Malahan menghantar isyarat kepada Pakatan Harapan (PH) bahawa ada perkara yang tidak kena dengan mereka berkaitan dasar dan prestasi mereka kepada rakyat khususnya kepada orang Melayu dan agama Islam.

‘Pertembungan’ idea di peringkat dalaman PH ini bagaikan satu bom jangka yang akan meletup bila-bila masa. Agenda Bumiputera yang mereka ingin rangka terus dibidas secara terbuka oleh rakan komponen mereka tanpa selindung. Inilah satu hambatan besar yang dimiliki PH bagi mereka mengekalkan kuasa untuk beberapa tahun akan datang. Satu hambatan yang juga akan dinilai secara berterusan oleh rakyat khususnya orang-orang Melayu.

Kejayaan UMNO-BN dalam PRK ini juga pastinya tidak lekang dari membicarakan tentang kejayaan kerjasama Pas dan UMNO. Kedua-dua parti utama orang Melayu-Islam ini biarpun punyai banyak kelemahan, namun kelemahan itu berjaya diatasi dengan menonjolkan kekuatan masing-masing secara lengkap-melengkapi.

UMNO biarpun dipersepsikan dengan pelbagai masalah rasuah dan salah guna kuasa, namun institusi politik orang Melayu ini sarat dengan pengalaman dan kemahiran dalam mentadbir negara. Begitu juga dengan Pas yang mempunyai kekuatan akhlak dan integriti ahli yang kukuh di pelbagai peringkat. Kesemua ini bila digabungkan menzahirkan satu kekuatan dalam kerjasama politik kedua-dua parti.

Kini kedua-dua parti akan mula merangka gerak kerja hubungan strategik yang lebih tersusun dan sistematik menuju PRU15. Biarpun begitu, proses untuk memulihkan kepercayaan rakyat bukanlah satu tugas yang mudah dan tidak juga mengambil masa yang singkat.

Dalam menjayakan agenda tersebut, tugas yang dilakukan selamanya tidak boleh berterusan menuding jari kepada pihak lawan dan mencari serta membongkar kelemahan mereka.

Tetapi tugas yang hakiki adalah secara berterusan komited untuk memperbaiki diri, membuang segala sifat yang tidak baik, membina integriti dan memperteguh kembali jati diri serta daya juang untuk bertahan sebagai sebuah parti berstatus pembangkang utama di Malaysia.

Namun, usaha ini pada satu aspek yang lain menjadi lebih mudah kerana secara nalurinya semangat dan kekuatan untuk bangkit itu muncul secara semula jadi. Tanpa wang dan bantuan, tetapi yang ada hanyalah pengorbanan dan semangat setia kawan yang tinggi antara satu sama lain.

Sejak 9 bulan yang lalu, sedikit demi sedikit UMNO kembali ditoleh rakyat. Momentum ini lahir bukan dengan satu rancangan yang diatur, tetapi muncul kerana segala kebobrokan yang berlaku kembali menyedarkan rakyat betapa sebuah kerajaan yang lebih baik perlu diwujudkan.

Sesungguhnya kekalahan PRU14 banyak memberikan pengajaran dan melahirkan hikmah perjuangan yang tidak sedikit kiraannya. Dari kekalahan itu terzahirnya antara intan dengan kaca, antara kebenaran dan kepalsuan, antara fitnah dan fakta dan antara keikhlasan dan kemunafikan. Jalan yang dilalui ini masih panjang dan jauh. UMNO akan terus menongkah pelbagai badai dan menempuh segala onak yang mendatang.

Kita insaf, betapa bahtera keramat ini hanya akan kembali gagah apabila kesetiaan dan pengorbanan disalut dengan kesedaran dan integriti yang luhur. Moga ALLAH terus bersama perjuangan UMNO. Bangkitlah UMNO.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!