Covid-19: Upacara pengebumian cetus Kluster Mokodou di Ranau

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Upacara pengebumian dan menghormati kematian di Kampung Mokodou, Ranau mencetus Kluster Mokodou dengan 94 kes jangkitan Covid-19 dikesan sehingga Rabu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, kes indeks kluster jenis komuniti itu merupakan seorang warga emas lelaki berusia 65 tahun dikesan positif Covid-19 di Hospital Ranau pada Sabtu lepas.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati isteri kepada lelaki itu meninggal dunia pada 15 September lepas akibat kanser usus, dan upacara penghormatan terakhir telah dilakukan di rumah lelaki itu di Kampung Mokodou.

“Ia dihadiri hampir 60 peratus penduduk Kampung Mokodou serta ahli keluarga daripada Kampung Tumbalang.

“Saringan kontak rapat telah dilakukan dan mengesan pertambahan bilangan kes positif di Mukim Malinsau dan Mukim Timbua dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan yang menghadiri majlis pengebumian di Kampung Tumbalang,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, daripada 146 orang yang disaring melibatkan kluster itu, seramai 94 orang didapati positif termasuk 43 kes baharu yang dilaporkan pada Rabu.

Sementara itu, Masidi berkata, Sabah merekodkan 1,000 kes positif Covid-19 pada Rabu dan daripada jumlah itu 551 kes atau 55.1 peratus dikesan daripada saringan kontak rapat.

“Ini (jumlah saringan kontak rapat tinggi) dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan, sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: