Kerajaan salur RM19.96 juta kepada 818 PKS mikro

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyalurkan bantuan bernilai RM19.96 juta kepada 818 perusahaan kecil dan sederhana serta mikro menerusi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) setakat 20 Ogos, 2021 bagi tujuan pemerkasaan perniagaan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, program tersebut telah diberi peruntukan RM20 juta, iaitu RM5 juta daripada Belanjawan 2021 manakala RM15 juta lagi daripada Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

“Ia adalah satu inisiatif strategik kerajaan di bawah Tekun Nasional untuk membantu masyarakat India mempertingkatkan ekonomi menerusi penglibatan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-70 yang dikeluarkan pada Rabu.

Beliau berkata, bagi Skim Jaminan Prihatin DanaJamin (DPGS) yang bertujuan membiayai modal kerja, sebanyak RM2.02 bilion jumlah jaminan telah diluluskan bagi 54 syarikat setakat 17 September 2021.

Sehingga kini, 11 bank turut terlibat dalam skim ini, iaitu Malayan Banking Bhd; CIMB Bank Bhd; OCBC Bank (Malaysia) Bhd; Alliance Bank Malaysia Bhd; AmBank (M) Bhd; Hong Leong Bank Bhd; United Overseas Bank (Malaysia) Bhd; Affin Bank Bhd/Affin Hwang Investment Bank Bhd; RHB Bank Bhd; Bangkok Bank Bhd; dan MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga telah meluluskan permohonan subsidi upah bernilai RM12.94 bilion di bawah Program Subsidi Upah 1.0 (PSU 1.0) yang memberi manfaat kepada 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja setakat 17 September 2021.

Bagi PSU 2.0, sebanyak RM1.381 bilion disalurkan kepada 80,264 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 705,618 pekerja setakat 17 September lepas.

Beliau menjelaskan, sejumlah RM3.03 bilion turut disalurkan kepada 322,254 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 1,472,490 pekerja di bawah PSU 3.0 setakat tempoh yang sama.

Artikel Berkaitan:

“Setakat 17 September 2021, sebanyak RM928 juta telah disalurkan kepada 86,181 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 948,504 pekerja di bawah PSU 4.0,” katanya. -Bernama