SSM nafi kebocoran data perniagaan di Malaysia

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menafikan dakwaan terdapat kebocoran data melibatkan entiti perniagaan di Malaysia seperti dilaporkan beberapa portal pada Rabu.

SSM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menjalankan siasatan dalaman dan menjamin semua maklumat korporat yang diserah simpan adalah selamat.

“Maklumat tersebut juga dilindungi oleh beberapa lapisan teknologi keselamatan maklumat yang diiktiraf.

“SSM akan bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap dakwaan ini,” jelas kenyataan tersebut pada Rabu.

Media pada Rabu melaporkan dakwaan profil anggaran 1.4 juta syarikat di Malaysia dijual dalam talian.

Data tersebut termasuk butiran pengarah dan pemegang taruh syarikat yang didakwa telah dikeluarkan daripada SSM.

Sementara itu, SSM turut menyarankan orang awam supaya merujuk maklumat entiti perniagaan berkaitan syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad melalui portal yang diiktiraf.

“Antara saluran tersebut ialah www.ssm4u.com.my, www.ssm-einfo.my dan www.mydata-ssm.com.my.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, SSM juga menyediakan maklumat berkaitan entiti-entiti perniagaan di Malaysia yang disahkan benar secara digital (Digital CTC) melalui portal di atas yang boleh disemak kesahihan maklumat diterima melalui aplikasi telefon pintar SSM DCTC QR Code Reader.

“Untuk sebarang aduan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau e-mel kepada enquiry@ssm.com.my,” tambah kenyataan itu.