Ketengah, UMT jalin kerjasama bangun ekonomi, modal insan

Razali (kanan) menunjukkan MoU yang ditandatangani antara Ketengah dan UMT.
Razali (kanan) menunjukkan MoU yang ditandatangani antara Ketengah dan UMT.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam membangunkan ekonomi dan modal insan.

Jalinan kerjasama yang dimeterai secara maya pada Selasa itu membolehkan Ketengah dan UMT berkongsi sumber, kemudahan, pengalaman dan pengetahuan bagi pembangunan fizikal serta sosio ekonomi.

Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata, hubungan strategik itu juga memberi tumpuan kepada kerjasama penyelidikan, pembangunan pendidikan, dan latihan bagi mewujudkan modal insan berintegriti, berkemahiran serta berdaya saing.

“Kerjasama ini selari dengan Pelan Perancangan Strategik Ketengah 2021-2025 yang mempunyai lima teras utama iaitu ekonomi dan keusahawanan, pembangunan masyarakat, pembangunan prasarana, alam sekitar dan sistem penyampaian.

“MoU ini sedikit sebanyak telah merangkumi perancangan pembangunan Ketengah dalam memberi nilai tambah kepada organisasi agar terus cemerlang,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU antara Ketengah dan UMT pada Selasa.

Hadir sama Naib Canselor UMT, Profesor Dr Mazlan Abd. Ghaffar dan Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Menurut Razali, usaha jalinan kerjasama antara Ketengah dan UMT dicetuskan di peringkat tertinggi melibatkan tumpuan kepada 10 skop utama.

Beliau berkata, antara skop itu adalah pengukuhan akademik, program kerjasama pelancongan, perkongsian sumber dan kepakaran, kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, ia juga meliputi sokongan permohonan geran dalam R&D, pembangunan modal insan, latihan industri, mobiliti dan sangkutan, kerjasama penganjuran program, penerbitan bersama dan aktiviti lain,” katanya.