X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Kes saman Apandi terhadap Tun M, gagal selesai melalui mediasi

Mohamed Apandi Ali dan Tun Mahathir
A
A

KUALA LUMPUR - Kes saman Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan akan diteruskan dengan perbicaraan selepas pihak terlibat gagal menyelesaikannya secara baik melalui proses mediasi.

Peguam Datuk Abdul Shukor Ahmad yang mewakili Mohamed Apandi ketika dihubungi pemberita berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa kerajaan tidak bersetuju untuk menyelesaikan kes itu secara proses mediasi.

“Semasa pengurusan kes secara dalam talian pada Rabu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar menetapkan perbicaraan kes itu pada 18, 20, 21 dan 22 April 2022 dan pengurusan kes selanjutnya pada 5 November ini. Pihak plaintif bercadang untuk mengemukakan lima saksi termasuk Mohamed Apandi,” kata Abdul Shukor.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili AGC ketika dihubungi mengesahkan mengenai mediasi itu.

Pada 6 Julai lepas, Abdul Shukor memaklumkan bahawa Mohamed Apandi bersedia untuk menyelesaikan kes samannya itu secara baik menerusi proses mediasi dan telah menyerahkan borang mediasi kepada AGC menerusi e-mel pada 21 Mei.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohamed Apandi yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015, juga menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama (Dr Mahathir) telah menyalahgunakan kedudukannya dan bahawa defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Mohamed Apandi memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am dan teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 12 November 2020, kedua-dua defendan itu menegaskan tindakan menamatkan kontrak perkhidmatan Mohamed Apandi sebagai Peguam Negara adalah sah serta mengikut peruntukan undang-undang dan tiada penyalahgunaan kuasa oleh Dr Mahathir dalam hal itu. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!