X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Menteri Besar gembira Kelantan diutamakan dalam RMK12

Ahmad ketika ditemui pemberita di Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Rabu.
A
A

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob gembira apabila negeri ini antara yang diberi keutamaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau sehubungan itu menzahirkan penghargaan kepada Ismail Sabri atas keprihatinan tidak meminggirkan Kelantan.

“Ini menunjukkan keprihatinan kepimpinan beliau yang memberi keutamaan kepada Kelantan dalam pengagihan peruntukan pembangunan.

“Saya amat berpuas hati dengan RMK12 yang dibentangkan pada Isnin lalu oleh kerajaan Persekutuan kerana meletakkan Kelantan antara enam negeri yang akan diberikan keutamaan selain Kedah, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu,” katanya kepada pemberita ketika hadir mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan Kelantan turut berharap rakyat di negeri ini akan mendapat manfaat menerusi Agenda Transformasi Sektor Air 2040 yang diketengahkan.

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM25.8 bilion menerusi Agenda Transformasi Sektor Air 2040 bertujuan menambah baik liputan dan perkhidmatan air, sekali gus menjamin bekalan serta kemampanannya.

“Jumlah itu satu nilai yang besar. Jadi saya berharap akan ada kepentingan rakyat Kelantan menerusi peruntukan tersebut,” ujar beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!