Kes Zulfarhan: Kenyataan dua doktor pakar bercanggah

Zulfarhan Osman Zulkarnain
Zulfarhan Osman Zulkarnain
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa terdapat banyak percanggahan kenyataan antara dua doktor pakar berhubung punca kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili (tertuduh pertama), Muhammad Akmal Zuhairi Azmal dan (kedua) Muhammad Azamuddin Mad Sofi berkata demikian ketika hujahan di akhir pembelaan bagi kes membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Amer Hamzah berkata, ia membabitkan saksi pendakwaan keenam, Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad dengan saksi pembelaan ke-19, Ketua Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan.

“Dr Salmah berpendapat, berdasarkan laporan bedah siasat, ia mengaitkan kematian Zulfarhan dengan luka bakar yang teruk namun, Dr Rohayu menyatakan bahawa tiada kaitan antara kecederaan melecur dengan punca kematian.

“Dr Rohayu membuat kenyataan bahawa berdasarkan penemuan saksi keenam itu sendiri, luka bakar yang ditemui di dada mangsa, berada dalam proses penyembuhan dan tidak menunjukkan tanda-tanda jangkitan,” katanya.

Oleh itu Amer Hamzah berkata, timbul persoalan bagaimana luka seperti itu telah menyebabkan kematian Zulfarhan.

Dalam pada itu, peguam Datuk Seri M Ramachelam yang mewakili Muhammad Afif Najmudin Azahat (tertuduh keempat) berkata, keterangan Dr Salmah yang menyatakan kecederaan luka bakar yang teruk, jika dirawat boleh mengelakkan kematian.

Katanya, keterangan Dr Rohayu juga perlu diambil kira apabila menyatakan, jika rawatan intensif dan bersesuaian diberikan, walaupun pesakit mengalami luka bakar yang teruk, masih boleh diselamatkan.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan kepada keterangan daripada dua pakar patologi ini, kecederaan yang dialami Zulfarhan bukanlah sesuatu kecederaan yang menjurus kepada kematian,” katanya.

Selain itu beliau berkata, tiada elemen niat bersama antara tertuduh- tertuduh lain dengan Muhammad Afif untuk mencederakan Zulfarhan.

Fakta ini katanya, disokong oleh keterangan daripada saksi pembelaan serta pendakwaan yang mengesahkan bahawa Muhammad Afif telah meninggalkan bilik 04-10.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi, 22 Mei 2017, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 pagi dan jam 5.30 pagi, 21 Mei 2017.