X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Sindiket edar syabu RM2.18 juta tumpas

Kamarul Zaman (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM2.18 juta selepas menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di Bandar Amanjaya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A

SUNGAI PETANI - Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan merampas 54.7205 kilogram (kg) syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM2.18 juta dalam serbuan di Bandar Amanjaya dekat sini Isnin lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan tersebut, empat suspek berjaya ditahan termasuk tiga sekeluarga masing-masing berusia 30 hingga 70 tahun.

“Pada jam 8.10 pagi, 27 September, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis (IPK) Kedah menahan sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton di hadapan sebuah rumah di Bandar Amanjaya dan seorang seorang suspek lelaki berusia 30 tahun.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemukan 54 bungkusan plastik berisi dadah disyaki jenis syabu yang diletakkan di dalam dua guni dan satu plastik hitam, berat keseluruhannya dianggarkan berjumlah 54.7205 kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini pada Rabu.

Menurutnya, pada masa sama polis turut menahan seorang suspek lelaki berusia 41 tahun yang berada dalam sebuah kereta jenis Honda City, bersebelahan dengan kereta jenis Mitsubishi Triton tersebut.

“Pada hari sama seorang suspek perempuan berusia 36 tahun ditahan jam 8.30 pagi di sebuah rumah di Bandar Amanjaya manakala suspek keempat berusia 70 tahun ditahan jam 9 pagi di sebuah premis di Pusat Komersil Saujana dekat sini.

“Siasatan juga mendapati suspek berusia 70 tahun itu adalah bapa kepada dua lagi suspek iaitu suspek perempuan berusia 36 tahun dan suspek lelaki berusia 30 tahun,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek adalah negatif, namun dua daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Dadah dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk diedarkan ke pasaran negeri-negeri di kawasan utara manakala mengenai tempoh mereka beroperasi siasatan lanjut masih dijalankan.

“Syabu sebanyak ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan kira-kira 547,000 penagih. Suspek juga dipercayai menjalankan perniagaan makanan sejuk beku dan kita akan siasat sama ada mereka menyalahgunakan perniagaan itu untuk menutup aktiviti pengedaran dadah yang mereka lakukan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman antara tiga hingga tujuh hari bermula tarikh tangkapan bagi membantu siasatan.

“Polis turut menyita sebuah lori, tiga buah kereta, dua motosikal, wang tunai dan wang dalam akaun bank, yang keseluruhannya berjumlah RM709,087.80,” katanya. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!