Kes kematian Adib: Tidak perlu ditutup tetapi lipat gandakan usaha

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendesak kerajaan supaya siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim tidak ditutup walaupun sementara sebaliknya menggandakan usaha membawa pembunuh ke muka pengadilan. - Foto fail Sinar Harian
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendesak kerajaan supaya siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim tidak ditutup walaupun sementara sebaliknya menggandakan usaha membawa pembunuh ke muka pengadilan. - Foto fail Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendesak kerajaan supaya siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim tidak ditutup walaupun sementara sebaliknya menggandakan usaha membawa pembunuh ke muka pengadilan.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tiada batasan waktu ditetapkan dalam undang-undang jenayah bagi memulakan prosiding itu terhadap mana-mana pihak.

Tambah beliau, kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkenaan kes tersebut ditutup sementara tidak seharusnya dikeluarkan oleh seorang menteri apatah lagi yang tidak berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang jenayah.

“Sewajarnya Peguam Negara atau Ketua Polis Negara yang mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan pendakwaan dan siasatan jenayah. Jika siasatan ditutup, bagaimanakah bukti baharu akan diperoleh?

“Sehingga kini rakyat masih terpinga-pinga kedudukan kes ini walaupun dulu pernah ada beberapa orang yang direman oleh pihak polis berkaitan dengan pembunuhan Muhammad Adib.

“PPMM mendesak Peguam Negara dan Ketua Polis Negara menzahirkan kedudukan terperinci mengenai siasatan tersebut dan tidak hanya berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Zainul Rijal berkata, pihaknya menegaskan bukti baharu tidak akan datang bergolek begitu sahaja jika siasatan ditutup sementara.

Menurut beliau, ia sudah menjadi tugas pihak polis mencari bukti-bukti tersebut sehingga ke tahap melampaui keraguan yang munasabah bagi membela arwah Muhammad Adib.

Artikel Berkaitan:

“Persoalan timbul kini adakah pihak polis sudah buntu, tidak menemui jalan dan sudah letih menyiasat kes pembunuhan Muhammad Adib dan mengumpul buktinya?

“Dalam masa yang sama banyak laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak termasuk keluarga arwah Muhammad Adib, mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Apandi Ali dan ramai lagi yang masih lagi tidak ketahuan tindakan yang diambil oleh pihak polis,” ujarnya.

Jelas Zainul Rijal, pembelaan kes kematian Muhammad Adib perlu diteruskan kerana seorang penjawat awam yang bertugas dengan kerajaan perlu dibela kematiannya.