Laporan Ketua Audit Negara: Pengurusan MM2H kurang cekap

Bilangan peserta MM2H mengikut negara bagi tempoh tahun 2002 hingga September 2019.
Bilangan peserta MM2H mengikut negara bagi tempoh tahun 2002 hingga September 2019.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) didapati kurang cekap dan berkesan walaupun pencapaian penyertaan program itu bagi tempoh tahun 2015 hingga September 2019 adalah baik.

Perkara itu dirumuskan melalui Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 yang dikeluarkan pada Selasa.

Laporan itu turut memaklumkan, penyertaan bagi MM2H mendapat sambutan yang baik iaitu seramai 21,292 peserta berbanding sasaran ditetapkan 17,500 peserta.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, hasil pengauditan yang dilakukan mendapati tiada pangkalan data secara bersepadu dan berlaku kelemahan kawalan dalaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“Peraturan dan prosedur yang tidak jelas menyukarkan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam membuat pemantauan secara berkesan dan menilai pencapaian program.

“Kelemahan ini juga boleh membuka ruang kepada peserta atau tanggungan melanggar peraturan yang ditetapkan serta mendedahkan risiko kesihatan dan keselamatan kepada negara.

“Ketiadaan punca kuasa pula menyebabkan tindakan perundangan terhadap kes salah laku syarikat dan ejen tidak dapat dilaksanakan,” katanya menerusi LKAN 2019 Siri 2 yang dikeluarkan.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Nik Azman berkata, bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan memastikan pelaksanaan Program MM2H MOTAC mencapai objektif yang ditetapkan, pihak Audit mengesyorkan tindakan penambahbaikan yang perlu dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Antara syor yang dikemukakan ialah koordinasi antara MOTAC dan kementerian atau agensi berkaitan perlu dipertingkatkan dengan mewujudkan sistem bersepadu bagi menambah baik keberkesanan pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program.

MOTAC juga perlu melaksanakan penambahbaikan terhadap isu Audit yang dibangkitkan serta mengambil kira dapatan Kajian Impak dan Keberkesanan Program MM2H sebelum program ini diaktifkan semula untuk kekal relevan dan realistik dengan perkembangan semasa serta memberi penekanan kepada keselamatan negara.

“MOTAC, JIM dan Jawatankuasa Pemandu MM2H juga perlu mengkaji dan menyemak semula pekeliling dan garis panduan Program MM2H supaya lebih seragam, jelas dan menyeluruh.

“Kajian juga perlu dijalankan terhadap prosedur saringan kesihatan agar selaras dengan prosedur dan standard yang ditetapkan oleh JIM dan Kementerian Kesihatan.

“Selain itu, perlu menguatkuasakan penggunaan kad pintar digital kepada peserta dan mengintegrasikan fungsinya seperti merekodkan maklumat mengenai pembelian hartanah oleh peserta, maklumat kediaman dan pekerjaan peserta bagi tujuan pemantauan yang lebih berkesan,” jelasnya.