Negara hadapi masalah governans

Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berbahas mengenai RMK12 pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berbahas mengenai RMK12 pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa negara ini mempunyai masalah governans yang bukan hanya melibatkan tadbir urus berkaitan penjawat awam.

Menurutnya, governans ini meliputi semua urusan seperti usaha membasmi kemiskinan dan menjaga keamanan, ketenteraman serta kesihatan.

Beliau turut mengambil contoh seperti keamanan dan ketenteraman negara boleh diceroboh jika aspek governans tidak diperketatkan dalam sistem pengawalan negara.

“Begitu juga dalam hal menjaga kesihatan. Tanpa governans, vaksin boleh dijual beli. Mungkin kepada pembida yang tertinggi.

"Ini bukan omong-omong kosong lagi kerana telah berlaku kes jual vaksin. Malah, bukan setakat menjual vaksin, ada pula sindiket yang menjual sijil vaksinasi,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di sidang Dewan Rakyat pada Rabu.

Wan Azizah berkata, RMK12 memerlukan satu bab khas bagi membolehkan negara ini merancang hal berkaitan governans secara holistik.

Katanya, aspek governans bukan hanya mengenai pemerkasaan sektor dan perkhidmatan awam sahaja, ia jauh lebih penting daripada itu.

"Ini bukan hanya bab tatatertib dan disiplin penjawat awam. Ini adalah mengenai ekosistem pentadbiran negara kita,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut mempersoalkan apakah perancangan atau tumpuan negara ini menangani peningkatan masalah kesihatan mental dalam negara terutamanya impak daripada pandemik Covid-19.

“Pandemik ini telah meninggalkan kesan buruk kepada ramai rakyat kita. Kesan daripada segi mental dan fizikal.

“Ramai yang kehilangan pekerjaan dan hilang punca pendapatan kerana tidak dapat meneruskan perniagaan. Banyak wanita dan kanak-kanak mengalami keganasan rumah tangga.

“Ramai juga yang makin murung dan resah berkurung di dalam rumah. Kebanyakan mereka telah hilang kemahuan untuk terus hidup dan memilih jalan pintas untuk menamatkan riwayat hidup mereka,” katanya.

Katanya, jumlah kes bunuh diri dari Januari ke Julai tahun ini telah melebihi statistik keseluruhan tahun lalu.