Sistem saliran dipertingkat libat ketahanan tempoh 100 tahun

Amirudin (tiga dari kiri) menerima replika cek yang disumbangkan KSSB kepada Tabung Prihatin Tahfiz Selangor di Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam pada Rabu.
Amirudin (tiga dari kiri) menerima replika cek yang disumbangkan KSSB kepada Tabung Prihatin Tahfiz Selangor di Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang melaksanakan Pelan Perancangan Projek Tebatan Banjir bagi meningkatkan kemampuan sistem saliran di negeri ini bagi tempoh 100 tahun.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, buat masa ini, kebanyakan sistem saliran di negeri ini hanya mampu bertahan untuk tempoh 50 tahun sahaja.

Beliau berkata, pelan berkenaan telah dirangka selepas berlakunya banjir besar di Kajang pada tahun lalu yang mengakibatkan sistem saliran di kawasan berkenaan tidak mampu menampung jumlah kadar hujan yang turun.

"Dengan kerancakan pembangunan dan beberapa faktor lain, kerajaan negeri dalam persiapan menyiapkan pelan tersebut.

"Maknanya, sistem saliran di satu kawasan itu akan dibuat dengan mengambil kira anggaran kemampuannya untuk menampung kapasiti limpahan air bagi 100 tahun ke depan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serahan Sumbangan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) kepada kerajaan Selangor untuk Tabung Prihatin Tahfiz Selangor di Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pelan perancangan itu memerlukan tempoh minimum selama setahun untuk dilaksanakan dan sebahagian projek tebatan banjir juga sedang berjalan buat masa ini.

Beliau berkata, jabatan-jabatan terlibat juga perlu membentangkan laporan teknikal masing-masing berhubung pelaksanaan pelan tersebut.

"Sebahagian pelaksanaan pelan ini sedang berjalan dan terdapat juga projek turut berdepan sedikit gangguan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika diminta mengulas mengenai fenomena air pasang besar di Selangor, Amirudin berkata, kerajaan negeri sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.