Penyakit jantung penyebab utama kematian di Malaysia

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Penyakit jantung menjadi penyebab utama iaitu sebanyak 15 peratus daripada 109,164 kematian di Malaysia yang disahkan secara perubatan pada tahun 2019.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perangkaan tersebut dijangka lebih meruncing terutama ketika seluruh dunia sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan akses kepada informasi dan rawatan penyakit jantung serta penyakit tidak berjangkit lain menjadi lebih sukar.

Justeru, beliau berkata, penggunaan teknologi digital sedia ada secara optimum akan membantu masyarakat di seluruh negara mendapat akses kepada informasi pencegahan dan rawatan penyakit jantung yang diperlukan.

"Penggunaan teknologi digital dalam meningkatkan akses kepada kesedaran penyakit jantung berpotensi memangkinkan penyebaran ilmu pengetahuan kesihatan jantung dan memahami risiko-risiko penyakit disebabkan organ itu kepada masyarakat.

"Melalui teknologi dan aplikasi kesihatan digital, agensi lain seperti badan-badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak akademik dan lain-lain dapat memainkan peranan masing-masing dalam memberi sokongan diperlukan kepada pesakit jantung dan ahli keluarga mereka," katanya dalam satu kenyataan sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia 2021 bertemakan 'Sayangi Jantung dan Terus Berhubung' pada Rabu.

Sempena sambutan itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi penekanan kepada tiga mesej utama iaitu pelihara jantung dengan mengamalkan pemakanan sihat, tidak merokok dan tidak mengambil alkohol serta mengekalkan gaya hidup yang aktif selain mengurangkan tekanan.

Selain itu, katanya, adalah penting untuk orang ramai menjalani saringan kesihatan secara berkala dengan memeriksa status Indeks Jisim Tubuh (BMI), tekanan darah, paras gula dan paras kolesterol dalam darah untuk mengesan penyakit pada peringkat awal, seterusnya mengelakkan komplikasi seperti penyakit jantung.

"Masyarakat digalakkan manfaatkan program kerajaan seperti Komuniti Sihat, Pembina Negara (Kospen), program saringan kesihatan Perkeso, klinik dengan perkhidmatan PeKa B40 dan klinik swasta untuk saringan dan intervensi faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang dilaksanakan secara meluas di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Umum mengetahui pesakit penyakit jantung adalah berisiko lebih tinggi mendapat komplikasi yang serius jika dijangkiti Covid-19.

"Selain melengkapkan vaksinasi serta mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu, pesakit perlu kekal sihat bagi meningkatkan daya ketahanan diri daripada penyakit Covid-19 dan komplikasinya," jelas beliau.