Enakmen akan dipinda, hukuman lebih berat menanti pembunuh penyu

Dr Azman (dua dari kanan) menyerahkan peralatan program kebuniti 2.0 kepada seorang peserta di Pusat Informasi Pertanian Bandar, Batu Burok, Kuala Terengganu pada Rabu.
Dr Azman (dua dari kanan) menyerahkan peralatan program kebuniti 2.0 kepada seorang peserta di Pusat Informasi Pertanian Bandar, Batu Burok, Kuala Terengganu pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mereka yang didapati bersalah membunuh dan menganiaya penyu akan dikenakan hukuman lebih berat bermula tahun depan bagi memulihara haiwan ikon pelancongan Terengganu itu.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, hukuman lebih tegas itu akan dilaksanakan melalui pindaan Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 1987).

"Hukuman kali terakhir dipinda pada tahun 80-an adalah terlalu ringan. Jadi, antara perubahan enakmen baharu ini adalah kenaikan kadar denda dan hukuman terhadap pembunuh penyu agar ia lebih relevan dengan situasi sekarang," katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Penyerahan Peralatan Program Kebuniti 2.0 dan Perasmian Kabin Tanaman Pintar di Pusat Informasi Pertanian Bandar, Batu Burok di sini pada Rabu.

Dr Azman berkata, proses pindaan enakmen itu kini berada di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November ini.

Selain menaikkan hukuman terhadap pembunuh penyu, beliau berkata, pindaan enakmen itu turut melibatkan penguatkuasaan larangan jualan bagi semua jenis telur penyu dan tuntung.

"Setakat enakmen yang ada sekarang, hanya telur penyu belimbing tidak dibenarkan dijual, tapi ia tidak lagi relevan kerana kali terakhir penyu belimbing mendarat di Terengganu ialah pada tahun 2017.

"Ia bermaksud kita mengharamkan telur penyu yang sudah tidak ada di sini. Jadi peraturan ini tidak relevan," jelas beliau.

Pada Sabtu, seekor penyu betina agar seberat 15 kilogram ditemui mati terdampar di Pantai Pandak, Chendering di sini.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan pada bangkai penyu yang dianggarkan berusia empat hingga lima tahun itu mendapati, terdapat pendarahan pada mata haiwan berkenaan dan dipercayai lemas terperangkap dalam pukat.

Sepanjang tahun ini, sebanyak 38 ekor penyu agar dan seekor tuntung laut ditemui mati di Terengganu.